SELANGOR sedia membantu dan berkongsi pengalaman bersama Kelantan dalam aspek penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) menjelang penganjuran Sukma Kelantan pada 2028.
Kesediaan itu disuarakan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sukma Selangor, Mohd Najwan Halimi, ketika mengetuai kunjungan hormat delegasi Sekretariat Sukma XXII & Para Sukma Selangor 2026 bertemu Exco Belia, Sukan NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad, di sini hari ini.
Advertisement
Delegasi Sekretariat Sukma Selangor diketuai oleh Mohd Najwan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat, Datuk Mohd Yazid Sairi, yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan) dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor En Mohamad Nizam Marjugi.
Turut hadir, Datuk Haji Azi Rahimee Mohamed, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pengurusan) merangkap CEO Sekretariat Sukma Negeri Kelantan, Muhammed Imran Mansoor, Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan merangkap Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Sukma Kelantan dan Mohd Arman Zulkifli, Pengarah Majlis Sukan Negeri Kelantan.
Ini merupakan negeri keempat yang dikunjungi delegasi yang menjadi sebahagian daripada tradisi dan formalisasi setiap kali penganjuran Sukma diadakan dengan mengadakan lawatan dan kunjungan hormat kepada negeri-negeri yang akan mengambil bahagian.
Menurut Mohd Najwan, Sekretariat Selangor bersedia untuk mencurahkan pengalaman dan berkongsi perancangan dalam penganjuran Sukma bersama Kelantan, sebagai persiapan awal yang mampu dibantu oleh Selangor menjelang Sukma Kelantan 2028.
“Kita mempunyai Sekretariat Selangor yang sedang melaksanakan pelbagai perancangan dalam penganjuran Sukma di Selangor, jadi kita boleh membantu Kelantan dalam aspek-aspek ini malah kita mengalu-alukan jika pegawai Sekretariat Sukma Kelantan sedia ditempatkan bersama Sekretariat Selangor, sebagai menimba pengalaman awal menjelang penganjuran Sukma Kelantan 2028,” katanya.
Sejumlah 474 acara daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan pada Sukma XXII Selangor 2026 yang akan berlangsung dari 15 Ogos 2026 sehingga 24 Ogos 2026.
Sebanyak 52 venue di sembilan daerah di Selangor akan digunakan sebagai gelanggang pertandingan yang membabitkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta Velodrom Nasional di Negeri Sembilan.
Bagi Para Sukma Selangor sejumlah 316 acara sukan daripada 10 jenis sukan akan dipertandingkan dari 5 hingga 10 September 2026.
- Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com