KUALA LUMPUR: Malaysia terus mara ke hadapan dalam saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 (BAMTC) di Emiriah Arab Bersatu (UAE), selepas menewaskan Kazakhstan 5-0 pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan B, hari ini.

Pada perlawanan di Pusat Pameran Dubai itu, pemain perseorangan wanita negara Wong Ling Ching memastikan mata pertama diperoleh, selepas mudah menewaskan Aisha Zhumabek 21-6 dan 21-13 dalam tempoh 21 minit.

Perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao kemudian melebarkan jurang mata 2-0 ke atas pasukan lawan, selepas memenangi perlawanan perseorangan lelaki menewaskan Dmitriy Panarin 21-12 dan 21-16.

Mata ketiga buat negara terus dikutip menerusi beregu wanita negara Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, selepas menundukkan Nargiza Rakhmetullayeva-Kamila Smagulova 21-7 dan 21-7, dalam tempoh 19 minit.

Malaysia kian selesa dengan meraih mata keempat dan kelima masing-masing menerusi beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan Khaitmurat Kulmatov-Artur Niyazov 21-5 dan 21-17 diikuti beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, yang menewaskan Makhsut Tadzhibullaev-Aisha Zhumabek 21-9 dan 21-10.

Malaysia bakal berdepan India bagi perlawanan penentuan juara peringkat Kumpulan B esok.

-- BERNAMA