PUTRAJAYA: Industri sukan di Malaysia mempunyai banyak potensi namun langkah perlu diambil bagi memastikan tiada lagi kerosakan berlaku akibat kes rasuah.

Demikian pandangan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik, Adam Adli Abd Halim, ketika ditanya pendapat beliau mengenai sektor sukan di negara ini.

Pada masa sama, beliau juga mengharapkan tiada lagi sektor sukan dianaktirikan selepas ini.

"Ini masalah dalaman. Saya yakin media tahu sangat isu ini. Ia bukan berkaitan prestasi atlet. Kita ada ramai atlet berkelas dunia, bukan sedikit.

"Ada yang hampir bawa pingat emas untuk negara, ada yang hampir mara ke kejohanan antarabangsa. Selalunya akan ada masalah.

"Dan apabila dilihat lebih mendalam, ia akan pergi semula kepada puncanya, kadangkala, kebanyakan masanya, maaf cakap, ia adalah disebabkan rasuah," katanya.

Bagi memastikan semuanya berjalan lancar, tambah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, segala yang akan dilakukan selepas ini perlu dirujuk kepada gerak kerja terlebih dahulu.

"Kena kerja bersama, tak boleh buat seorang. Saya perlu rujuk pegawai kementerian. Saya kena berhati-hati. Kalau tidak, anda pun akan hilang keyakinan (kepada menteri dan timbalan menteri)," tegasnya.

Dalam pada itu, Adam Adli berkata, beberapa isu melibatkan beberapa persatuan sukan akan diteliti sebaiknya termasuk melibatkan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

"Saya percaya itu memang akan diteliti. Kita tahu kita dalam proses transisi. Dasar keseluruhan kerajaan adalah untuk memastikan yang baharu, untuk perbaiki yang lama dan pastikan ke hadapan tidak lagi kita lihat kerosakan berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari pertama memulakan tugas secara rasmi sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, di pejabat beliau di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Abdullah Hasan dan Ahli Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KBS.

Adam Adli, merangkap Ketua Angkatan Muda Keadilan, antara 27 individu yang mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, Sabtu lalu.