KUALA LUMPUR: Pereka kandungan digital tanah air Mohamad Sofian Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Sofyank, menyifatkan kolaborasi khas bersama pempengaruh media sosial dan pereka kandungan digital terkemuka antarabangsa Zach King adalah 'hadiah' untuk semua peminatnya.

Sofyank, yang turut menyiarkan video itu di laman YouTube, berkata kolaborasi tersebut adalah untuk semua peminat yang sentiasa memberi sokongan kepada video yang dihasilkannya.

"Selepas lapan tahun saya muat naik video di media sosial untuk hiburan semua, kali ini saya hadiahkan korang satu video kolaborasi khas antara saya dan idola saya, @zachking.

"Kolaborasi ini khas untuk semua yang sentiasa bagi sokongan terhadap video kami," katanya dalam kapsyen video itu di YouTube.

Menerusi hantaran video sama yang dimuat naik di Instragram Zach King, Sofyank dalam ruang komen berkata: "Akhirnya, impian terbesar saya sebagai pereka kandungan digital untuk berkolaborasi dengan anda (Zach King) telah menjadi realiti, dan tiada kata-kata yang mampu menggambarkan betapa gembiranya saya!"

Menerusi klip video pendek itu, kelihatan kedua-duanya berlakon dengan menampilkan aksi 'magik' di mana kopi yang dihidangkan oleh Zach King kepada Sofyank bertukar menjadi kek dan papan tanda menu pula bertukar menjadi kain napkin yang digunakan semasa makan.

Sehingga kini, perkongsian video itu di aplikasi Tiktok Zach King berjaya meraih lebih 10.2 juta tontonan pelayar media sosial dan lebih sejuta tanda suka serta ribuan komen dari seluruh dunia.

Di ruangan komen, Zach King memaklumkan peminatnya bahawa Sofyank adalah sahabatnya yang berasal dari Malaysia dan menyifatkan pemuda berusia 27 tahun itu sebagai pereka filem serta artis VFX yang luar biasa.

"Beliau baru-baru ini datang ke Los Angles untuk menyempurnakan cabaran membuat filem yang saya hoskan. Tiada spoiler, kamu patut ke saluran YT (YouTube) saya untuk melihatnya," kata beliau.

Baru-baru ini, Sofyank yang berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan telah mengharumkan nama Malaysia apabila menjuarai pertandingan Ultimate VFX Challenge - Magic Of The Month di Los Angeles, Amerika Syarikat yang dianjurkan oleh Zach King.

Kejayaan itu turut menerima ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan pencapaian Sofyank sebagai sesuatu yang membanggakan negara dan harus diteruskan.

-- BERNAMA