Indeks Keyakinan Pengguna Malaysia terus meningkat pada suku ketiga di sebalik pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata MIDF Investment dalam nota kajian.

Berdasar kajian Lembaga Persidangan Keyakinan Pengguna Global, Malaysia berada di hadapan India dan Vietnam bagi rantau Asia, meningkat 10 mata kepada 127 mata peratusan berbanding suku kedua.

“Berdasarkan kajian, 77 peratus rakyat Malaysia percaya kewangan peribadi mereka untuk tempoh satu tahun akan lebih baik,” kata firma itu.

Bagi prospek pekerjaan pula, 75 peratus rakyat Malaysia positif untuk tempoh 12 bulan akan datang, sedikit tinggi berbanding 73 peratus tahap keyakinan pada suku kedua.

Peningkatan berterusan tahap keyakinan pengguna itu selari dengan Kajian Kecenderungan Perniagaan suku ke empat 2018.

MIDF menjangkakan sektor perkhidmatan dan berasaskan kepenggunaan akan terus memacu pertumbuhan ekonomi untuk tempoh tiga ke enam bulan akan datang.

“Tahap optimis kukuh pengguna, tekanan inflasi rendah dan pasaran buruh stabil adalah antara faktor asas yang akan menyokong permintaan domestik yang utuh,” kata MIDF lagi.