Produk dan perkhidmatan Malaysia diangkat di China melalui pelancaran Minggu Malaysia oleh Kumpulan Alibaba di bandar Hangzhou, lokasi ibu pejabat gergasi platform atas talian itu.

Minggu Malaysia menampilkan 50 jenama berkualiti Malaysia serta 30 perkhidmatan pelancongan dan pengembaraan Malaysia untuk diperkenalkan kepada penduduk China dalam usaha membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negara ini berkembang ke negara tembok besar itu.

Menurut Ketua Perwakilan Malaysia bagi Kumpulan Alibaba, James Song, Minggu Malaysia mengabungkan jualan atas talian dan bukan atas talian bagi produk Malaysia di pasaran China.

“Sebelum ini, penduduk China tidak mengetahui produk berkualiti Malaysia meskipun dua negara ini mempunyai hubungan akrab sejak sekian lama.

“Kami mahu mempromosi produk berkualiti Malaysia di pasaran China dan kami jangkakan dalam masa 3 ke 5 tahun, akan lebih banyak produk berkualiti Malaysia menembusi pasaran China,” katanya pada pelancaran Minggu Malaysia di sini pada Jumaat.

Minggu Malaysia merupakan sebahagian dari inisiatif Platform Dagangan Elektronik Dunia (eWTP) Alibaba di mana Malaysia dijadikan negara pertama di luar China untuk projek perintis eWTP.

eWTP menawarkan infrastruktur bagi tujuan dagangan merangkumi e-dagang, logistik, pengkomputeran awan, pembayaran atas talian dan latihan kepakaran untuk PKS Malaysia.

“Saya jatuh cinta dengan produk Malaysia selepas saya mencuba sendiri dan ia sememangnya berkualiti. Saya mahu penduduk China rasai pengalaman itu. Kerana itu kami wujudkan Minggu Malaysia,” kata Song.

Minggu Malaysia berlangsung dari 6 hingga 12 Julai, menampilkan produk berkualiti Malaysia yang dijual di atas platform Tmall, salah satu cabang platform atas talian Kumpulan Alibaba bagi produk premium.

“Secara keseluruhan, kami sudah mempunyai sejumlah 2,700 pengusaha Malaysia di atas platform Kumpulan Alibaba.

“Tmall sanggup membawakan produk Malaysia kepada pelanggan China kerana kami percaya kepada kualiti produk Malaysia,” kata Pengurus Besar Tmall Import dan Eksport, Alvin Liu.

Selain itu, Minggu Malaysia turut mempromosikan produk dan perkhidmatan pelancongan Malaysia yang boleh didapati menerusi aplikasi Alitrip.

Ia bertujuan mempromosi produk pelancongan negara kepada penduduk China termasuk pakej perhotelan dan tarikan pelancongan utama Malaysia.

Alibaba pada masa sama turut melancarkan majlis padanan perniagaan melibatkan 17 pengusaha Malaysia bersama 100 pembeli China.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi MDEC Datuk Ng Wan Peng berkata, eWTP dan Minggu Malaysia merupakan pemangkin utama kepada Zon Dagang Bebas Digital (DFTZ) yang dilancarkan Malaysia pada Mac 2017.

“Minggu Malaysia akan meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama selepas lebih 100 jenama Malaysia dipamerkan dan ia tidak hanya untuk pasaran China malah terbuka kepada pasaran global.

“e-dagang, PKS dan industri pelancongan Malaysia antara yang akan menerima manfaat besar melalui Minggu Malaysia ini,” katanya.

Minggu Malaysia dijangka menarik kunjungan 60,000 pelancong ke Malaysia untuk mencuba budaya, makanan dan tarikan pelancongan negara.