Siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak perlu diadakan semula.

Pengerusinya Datuk Hasan Arifin berkata, ini kerana laporan jawatankuasa tersebut telah dipersetujui semua ahlinya sebelum ia dibentang di Parlimen.

"Isi kandungan Laporan Pengurusan Kawalan Urus Tadbir Syarikat 1MDB yang diterbitkan oleh PAC juga telah dilaporkan oleh media tempatan dan antarabangsa," kata Hasan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, rumusan PAC dalam laporan berkenaan jelas meminta tindakan tegas diambil terhadap pengurusan 1MDB yang bertanggungjawab.