Kerana kecekapannya menghidu rokok haram, seekor anjing pengesan menjadi buruan penjenayah di United Kingdom.

Anjing yang diberi nama Scamp itu sehingga kini telah berjaya mengesan rokok seludup berjumlah lebih £6 juta (kira-kira RM32.7 juta) hanya dalam masa lima tahun.

Tergugat dengan anjing ajaib itu, sekumpulan penyeludup telah menawarkan £25,000 (kira-kira RM136,100) kepada mana-mana individu yang berjaya menangkap anjing berkenaan sama ada hidup atau mati.

Susulan itu, pemiliknya Stuart Phillips, 40, terpaksa menangguhkan kerja mengesan penyeludupan rokok haram oleh anjing peliharaannya itu.

Scamp merupakan anjing terlatih yang bukan sahaja dapat menghidu rokok haram, malah turut dilatih untuk mengesan wang tunai.

Anjing itu pernah mengesan wang tunai berjumlah £60,000 (kira-kira RM327,000) sebelum ini.