Sebuah jet pejuang tentera udara Greece dilapor terhempas di timur Laut Aegean ketika dalam penerbangan pulang selepas melakukan rondaan, lapor pegawai Kementerian Pertahanan.

Dalam insiden itu, masih tidak jelas sama ada juruterbang itu selamat.

Laporan televisyen tempatan menyebut bahawa pesawat Mirage 2000-5 itu terhempas di utara Pulau Skyros namun tiada sebarang maklumat mengenai punca kemalangan itu berlaku.

Rondaan udara dipergiat beberapa minggu kebelakangan ini susulan ketegangan di antara Greece dan Turki hingga menyebabkan berlakunya pertempuran di ruang udara hampir setiap hari.

Kapal tentera laut dan helikopter tentera Greece sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat juruterbang yang hilang.