Kerajaan Singapura telah membuat ketetapan berhubung tugas dan hak istimewa bagi Ketua Pembangkang di Parlimen ke-14, yang antara lain akan menyaksikan pemimpin itu mengetuai barisan pembangkang menyuarakan pandangan alternatif dalam perbahasan Parlimen mengenai dasar, rang undang-undang dan usul.

Ketua pembangkang juga akan memimpin dan menganjurkan pemeriksaan terhadap tindakan serta kedudukan kerajaan di Parlimen dan dirujuk berhubung pelantikan anggota pembangkang ke Jawatankuasa Pemilih, termasuk Jawatankuasa Tetap Pemilih, seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama oleh pejabat Speaker Parlimen dan pemimpin Dewan pada Selasa.

Pada 11 Julai lepas, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan pelantikan Setiausaha Agung Parti Pekerja Pritam Singh sebagai ketua pembangkang, dan kerajaan akan memberikan beliau sumber serta jumlah pekerja yang sesuai, bagi membolehkan beliau melaksanakan tugasnya.

Beliau berkata jawatan ketua pembangkang turut wujud secara rasmi dalam sistem Parlimen Westminster yang lain seperti Australia dan United Kingdom.

Kenyataan itu mengaku bahawa jawatan itu tidak dinyatakan sama ada dalam perlembagaan republik berkenaan, mahupun Perintah Tetap Parlimen, dengan jawatan ketua pembangkang tidak pernah wujud secara rasmi pada tahun 1950-an, mahupun awal 1060-an, semasa terdapat jumlah anggota dewan perundangan yang besar di pihak pembangkang.

Namun menurut kenyataan itu, dengan merujuk kepada ucapan di majlis angkat sumpah perdana menteri, keputusan pilihan raya umum 2020 telah menunjukkan "keinginan kuat dalam kalangan rakyat Singapura untuk menyaksikan kepelbagaian pandangan politik yang lebih luas" dan kecenderungan ini akan berkekalan".

"Pelantikan ketua pembangkang yang khusus akan memenuhi keinginan ini, dan pada masa yang sama membolehkan sistem politik kita berkembang dangan cara yang mengekalkan kepekaan kita terhadap kepentingan negara," katanya.

Bagi membolehkan beliau menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua pembangkang, Pritam, yang partinya memenangi 10 daripada 93 kerusi pada pilihan raya umum yang berakhir baru-baru ini, akan diberi beberapa hak istimewa dan sumber tambahan.

Antaranya ialah di Parlimen, beliau akan diberikan hak sebagai yang pertama dalam kalangan Ahli Parlimen memberikan maklum balas, dan mengajukan soalan utama kepada menteri berhubung dasar, rang undang-undang dan usul, bergantung kepada konvensyen ucapan sedia ada.

Sebagai tambahan kepada maklumat atau data yang diberikan kepada ahli Parlimen, ketua pembangkang juga akan menerima taklimat sulit oleh kerajaan berhubung perkara-perkara terpilih yang berkaitan dengan keselamatan negara dan hubungan luar, serta semasa darurat atau krisis negara, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA