Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Myanmar Prof Yanghee Lee menggesa Singapura tidak menghantar pulang warga Myanmar ke negara asal kerana mereka akan terdedah kepada penyeksaan.

Lee berkata beliau bimbang dengan berita mengatakan Singapura menghantar pulang enam warga Myanmar yang dikatakan menyokong Tentera Penyelamat Arakan Rohingya, sebuah kumpulan pemberontak Rakhine.

"Keenam-enam mereka ditangkap rejim Myanmar sejurus kembali dan saya dimaklumkan mereka kini ditahan di incommunicado.

"Saya prihatin dengan keadaan mereka, apatah lagi baru-baru ini terdapat kes seorang lelaki Rakhine maut ketika dalam tahanan kerana disyaki terbabit dengan Tentera Arakan," katanya pada sidang akhbar selepas mengakhiri lawatannya ke Thailand dan Malaysia, di sini Khamis.

Beliau turut prihatin terhadap nasib keluarga mereka dan penduduk Rakhine lain yang berada di Singapura.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura pada minggu lalu berkata enam lelaki terbabit telah menjadikan negara itu sebagai platform menganjurkan serta mendapatkan sokongan bagi pemberontakan bersenjata untuk menentang kerajaan Myanmar.

Katanya, beliau gusar melihat Myanmar yang meningkatkan tekanan dan kerap berhubung dengan negara jirannya yang kelihatan sebagai usahanya untuk terus mencabuli hak asasi dan mengelak daripada pemeriksaan.

"Ini termasuk menghalang saya menjalankan mandat saya. Semasa di Thailand, saya terpaksa membatalkan sebahagian lawatan kerana terdapatnya campur tangan. Ia sangat serius dan tidak boleh dipandang ringan," katanya.

Lee tiba di sini pada Selasa dan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah, pelarian Myanmar serta kumpulan masyarakat. Sebelum itu beliau berada di Thailand.

Tambah beliau, memandangkan konflik antara Tatmadaw (Angkatan Tentera Myanmar) dan Tentera Arakan kian memuncak, situasi pencabulan hak asasi manusia dan keganasan terhadap penduduk awam semakin buruk.

Katanya, kerajaan Myanmar telah mengarahkan internet mudah alih di sembilan bandar di utara Rakhine dan selatan Chin ditutup selama hampir sebulan.

"Persoalannya, apakah langkah kerajaan Myanmar itu bertujuan mencetuskan lebih banyak bahaya kepada rakyat yang tinggal di Rakhine?," ujarnya.

Lee berkata sekatan penggunaan internet itu juga memberikan cabaran buat dirinya untuk mendapatkan maklumat daripada orang ramai, kerana sehingga kini beliau masih tidak dibenarkan untuk masuk ke negara itu.

-- BERNAMA