Seorang remaja perempuan dirogol dua lelaki ketika menghadiri kenduri kahwin di sebuah kampung di daerah Jashpur, Isnin lalu.

Sebelum dirogol, mangsa berusia 15 tahun itu dipaksa meminum arak.

Polis berkata, mangsa yang trauma berjaya mengingati wajah penyerangnya semasa dirawat di hospital.

Mangsa memberitahu polis, dia diculik semasa mencuci tangan dan diheret sejauh 300 meter sebelum dirogol bergilir-gilir di satu kawasan gelap.

Keluarga mangsa yang menyedari kehilangannya bertindak melakukan pencarian sebelum menemui gadis malang itu terbaring tidak sedarkan diri dan dibawa ke balai polis Bagicha.

Susulan itu, polis menahan dua remaja dikenali sebagai Dholi dan Fakhal keesokan harinya.

Mereka dipercayai merancang untuk melarikan diri.

Jenayah seksual melibatkan mangsa bawah umur di India semakin menjadi-jadi selepas kes rogol dan bunuh Asifa Bano didedahkan media beberapa bulan lalu. - Times of India