"Orang ramai masih lagi berada di neraka bumi."

Demikian antara laporan yang dibentangkan Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Syria, Staffan De Mistura kepada ahli Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat.

Pembentangan khas mengenai keadaan semasa konflik yang memasuki tahun kelapan itu turut mendedahkan bahawa tiada sebarang gencatan senjata berlaku sehingga kini.

"Bilangan mereka yang mati dan cedera sebenarnya masih belum dapat dipastikan kerana perang masih berlangsung di negara itu," jelasnya.

De Mistura mendakwa pengunaan senjata terlarang dan kemusnahan hospital yang menjadi sasaran pihak bertelagah menyumbang kepada peningkatan korban mangsa.

Beliau menjelaskan resolusi 2401, yang diterima pakai pada bulan Februari, menuntut agar permusuhan dihentikan dan pelaksanaan yang komprehensif mengenai kemasukan misi bantuan kemanusiaan dalam tempoh sekurang-kurangnya 30 hari di seluruh Syria tidak dilaksanakan.