Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang baharu Ahmad Idham mahu beri fokus kepada membangunkan bakat keseluruhan mereka yang terlibat dalam industri ini.

Bukan sahaja daripada segi kandungan filem, malah kesemua yang terlibat -- baik pelakon, pekerja belakang tabir, dan penggiat seni -- akan turut sama ke pasaran luar negara.

"Saya merancang untuk menubuhkan program pembangunan bakat yang mana selain kita mempromosikan produk kita ke pasaran antarabangsa, saya juga merangka untuk membawa bakat tempatan ke sana seperti pelakon kita, pekerja-pekerja belakang tabir dan penggiat kreatif kita,” katanya.

Beliau juga berhasrat melalui pelan industri yang dirangka nanti akan dibentangkan dalam satu sidang media setelah mendapat kelulusan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Ahmad Idham merupakan pengarah dan pelakon sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Finas berkuat kuasa 11 Mac lalu.

Berita pelantikan itu diumumkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi satu kenyataan rasmi.

Jawatan yang disandang oleh Ahmad Idham, 45, itu diambil alih daripada Shakib Ahmad Shakir yang bertindak selaku pemangku sejak empat bulan lalu.