Sepuluh bukti yang didedahkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengaitkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dengan fahaman Syiah bukan bukti baru dan telah ditolak oleh ahli PAS sendiri, kata seorang penganalisis politik.

Mohd. Sayuti Omar berkata, bukti-bukti itu pernah dijadikan bahan kempen untuk menjatuhkan Mohamad dalam pemilihan parti Islam itu baru-baru ini tetapi ia tidak berjaya dan Mohamad "ampuh di kerusinya".

Mohamad mempertahankan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden PAS dalam pemilihan parti itu bulan lalu selepas mengalahkan pencabarnya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dengan majoriti 98 undi.

"PAS sebagai parti dianggotai Mohamad Sabu tentu lebih tahu sejauh mana ahlinya itu melanggar syariat atau membahayakan kepada akidah umat Islam dan ahlinya.

"Yang jelas tidak ada apa-apa tindakan daripada PAS," kata Mohd. Sayuti di blognya Merah Tinta MSO, hari ini.

"Jadi tidak perlu pemimpin UMNO cuba hendak membentukkan akidah orang-orang PAS atau jemaah itu sendiri sedangkan akidah UMNO belum tentu benar," tambahnya.

Dalam tulisan bertajuk "PAS hendak dihancurkan dengan Syiah?" itu, Mohd. Sayuti mengulas pendedahan Ketua Setiausaha KDN, Abdul Rahim Mohamad Radzi mengenai 10 bukti yang didakwa menunjukkan Mohamad pengikut fahaman Syiah yang difatwakan sebagai ajaran sesat di negara ini.

Antara bukti yang didedahkan itu termasuk dakwaan bahawa Mohamad mengkagumi kepimpinan pemimpin Revolusi Iran 1979, Imam Ruhollah Khomeini.

Beliau juga dikatakan pernah hadir dalam satu pengajian Syiah yang dikendalikan oleh ustaz fahaman Syiah serta dikatakan bersembahyang seperti pengikut Syiah dengan meletakkan batu leper di tempat sujud.

Mohd. Sayuti berpendapat bukti-bukti itu "tidak cukup kuat untuk mendakwa dan mengheret Mohamad Sabu ke mahkamah atas tuduhan menganut ajaran Syiah dan disabitkan dengan mana-mana hukum agama".

KDN juga katanya tidak mendedahkan apakah Mohamad cuba menganjurkan keganasan dengan mengajak rakyat bangkit "mempertahankan Syiah dan menumbangkan kerajaan menggunakan senjata".

Mohd. Sayuti turut membangkitkan beberapa persoalan mengenai bukti-bukti yang dikemukakan oleh KDN itu.

Beliau bertanya sekiranya Mohamad menghadiri pengajian Syiah, apakah ustaz yang mengendalikan kuliah itu sudah dikenakan tindakan undang-undang?

"Sepatutnya ustaz itu patut didakwa terlebih dahulu dan disumbat ke dalam penjara," katanya.

Mohd. Sayuti melihat isu Syiah yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PAS itu mempunyai motif politik peribadi serta agenda memburukkan PAS termasuk memecahbelahkan parti Islam itu.

Tuduhan bahawa Mohamad menganut fahaman Syiah dibangkitkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini yang ketika itu didedahkan sebagai "orang nombor dua dalam PAS".

Pendedahan 10 bukti dakwaan itu oleh Ketua Setiausaha KDN hari ini adalah sebagai mengesahkan orang yang dimaksudkan oleh Zahid itu adalah Timbalan Presiden PAS.