Hanya dengan tempoh setahun persediaan, sekumpulan pelajar dan seorang pensyarah muda dari Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Batu Pahat, mencipta rekod dengan mengadakan kelas di paras ketinggian 5,550 meter dari paras laut di Puncak Gunung Kalapathar, Nepal, tiga hari lepas (Ahad).

Lebih manis lagi, kejayaan itu dilakarkan pada Hari Malaysia dengan bendera Malaysia dan bendera UTHM dikibarkan, sekali gus menjadi pengalaman manis bagi kumpulan itu, yang mengharungi cabaran selama 10 hari sebelum sampai di Kem Dasar Tertinggi Everest (EBC) itu.

Menceritakan pengalamannya mengajar di Kem Dasar Everest itu, Dr Nur Kamilah Yusuf berkata beliau mengajar subjek Jurutera dan Masyarakat ketika berada di ketinggian itu yang membawa dua jam kredit.

"Kami berada di EBC selama tiga jam bagi sesi kuliah dan misi kibaran bendera.

"Misi menawan EBC merupakan hadiah paling bermakna yang ingin kami berikan kepada UTHM dalam usaha untuk meningkatkan lagi imej dan visibiliti universiti ini di mata dunia," katanya kepada Bernama, ketika dihubungi, di sini hari ini.

Meskipun mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan misi itu, ditambah pula dengan halangan cuaca dan bentuk muka bumi yang pelbagai, semua cabaran tersebut tidak sedikit pun melunturkan semangat mereka untuk meneruskan misi sehingga berjaya, jelas pensyarah berusia 30 tahun itu, yang juga termuda mempunyai PhD di fakultinya.

"Cabaran paling ketara yang terpaksa kami tempuh adalah apabila berhadapan dengan hujan dan angin yang kuat serta suhu sejuk yang mencecah sehingga dua darjah Celsius di sebelah siang manakala malamnya pula sehingga -10 darjah Celsius," katanya lagi.

Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Aeronautik itu berkata sebelum itu, bagi persediaan menghadapi pendakian sukar itu, mereka turut berpeluang menakluk tiga gunung beraltitud tinggi iaitu Gunung Semeru dan Gunung Kerinci (Indonesia) dan Gunung Kinabalu (Sabah).

"From zero to hero" adalah moto pasukan kami kerana para pelajar ini terdiri daripada bukan pendaki. Untuk memantapkan lagi ilmu pendakian, kami turut mendapat bimbingan khas dari bekas pendaki Everest iaitu Ahmad Reduan dan isterinya, Roslizawati," tambahnya yang baru sahaja tiba di bandar Lukla, semalam.

Selain Nur Kamilah, tujuh pelajar yang turut berjaya dalam misi tersebut terdiri daripada Atiq Saifullah Lokman Hakim, 21; Khairul Firdaus Mohd Talib, 21; Putra Nur Addin Abdullah, 21; Kevin Kee Chie Huong, 22; Ham Wen Jun, 22; Muhammad Hazman Hanafi, 21; dan N. Sashven, 21-- kesemuanya merupakan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan.

Sebelum memulakan pendakian, pasukan itu turut menjayakan misi sampingan mereka dengan menyertai program khidmat komuniti melibatkan pemasangan lampu solar di beberapa kawasan perkampungan sekitar Kathmandu, Nepal.

"Projek pemasangan lampu solar yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Mustaffa Ibrahim ini bertujuan untuk menerangi lorong-lorong sekitar madrasah Asyraful Ulum dan beberapa laluan untuk menuju ke kem dasar tersebut.

"Kerja-kerja CSR iaitu pemasangan panel solar adalah merupakan tugasan bagi subjek Jurutera dan Masyarakat di mana para pelajar diminta untuk membawa teknologi ke sesuatu tempat dan memainkan peranan sebagai seorang jurutera," tambah Nur Kamilah.

Sebagai ketua pasukan, beliau turut memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana berjaya merealisasikan misi itu yang merupakan hadiah bermakna bagi ulangtahun ke-25 universiti berkenaan, fakulti serta ahli keluarga mereka yang banyak memberi sokongan serta doa.

"Kami juga menjunjung setinggi-tinggi kasih buat Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di atas kurniaan tajaan buat pasukan kami serta terima kasih kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik di atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada kami," tambahnya lagi.

Kesemua pelajar dan pensyarah itu yang sudah 19 hari berada di Nepal, dijangka tiba di tanah air pada 22 Sept ini.

-- BERNAMA