Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Tan Sri Datuk Seri Law Hieng Ding menghembus nafas terakhir sekitar jam 4.45 pagi Selasa.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian mengesahkan pemergian bekas pemimpin parti itu pagi tadi.

Hieng Ding, 81 tahun merupakan graduan Universiti Nanyang, Singapura pada tahun 1960 dengan Ijazah Sarjana Perdagangan dalam Perakaunan dan Perbankan.

Law memulakan kerjaya politiknya pada tahun 1972 dan telah memenangi kerusi Parlimen Sarikei selama enam penggal bermula 1982.

Beliau dilantik Timbalan Menteri dari 1987 hingga 1990, sebelum dilantik Menteri Kabinet dari 1990 hingga 2004.

Sebelum bersara, beliau merupakan Timbalan Presiden SUPP dan ahli Yayasan Pendidikan dan Penyelidikan Nantah serta pengerusi atau pengarah kepada beberapa syarikat senaraian awam.

Beliau dianugerahkan gelaran Tan Sri pada 2005, selain Datuk Seri dari Pulau Pinang dan Dato' Sri dari Sarawak.

Kui Hian dalam kenyataannya berkata, pihaknya bersedih atas pemergian veteran parti itu yang amat berjasa.

"Pada Oktober lalu, semasa Lan Berambeh 2018, saya melawat beliau.

"Saya kesal tidak dapat menyempurnakan misi semasa beliau masih hidup iaitu menamakan jalan sempena namanya di Sarikei bagi menghargai jasanya sebagai Ahli Parlimen di sana.

Hieng Ding meninggalkan seorang balu, Puan Sri Ngui Soon Leng, dan tiga cahaya mata.