Kita selalu mengagumi peranan adiwira di dalam filem-filem fiksyen seperti Ironman, Spiderman, Wonder Woman, Superman dan sebagainya.

Kewujudan mereka sering kali digambarkan muncul pada saat genting dan amat diperlukan demi menjaga keamanan dan keselamatan.

Bagaimanapun, tanpa kita sedar, sebenarnya watak-watak adiwira atau hero itu wujud dalam realiti kehidupan seharian kita.

Dalam situasi semasa, khususnya ketika dunia dilanda penularan pandemik COVID-19, terdapat kumpulan 'adiwira' yang bertindak dalam pelbagai cara dari proses pencegahan, sokongan hinggalah ke barisan hadapan memerangi ancaman virus ini, seterusnya memastikan rakyat dan negara selamat sejahtera.

Setiap profesion malah setiap individu daripada pelbagai lapisan usia dan latar kerjaya memainkan peranan berdasarkan skop tugas masing-masing dalam tempoh ujian ini. Selepas seminggu Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan, banyak yang kita dapat lihat dan nilai dalam fikiran kita.

Astro AWANI menyenaraikan untuk anda siapakah watak-watak #HeroDiSebalikTopeng.


PEMERINTAH

Dalam memastikan mekanisme pencegahan dan pembasmian penularan ini, pelbagai dasar dan inisiatif perlu dirancang, diumum dan dilaksanakan, dan hal itu bermula dengan siapa yang mentadbir kerajaan.

Pihak kerajaan cuba sedaya mungkin untuk membantu rakyat Malaysia yang dijangkiti COVID-19 dan juga mereka yang berkerja keras dalam menangani isu ini.

Setelah mengadakan perbincangan bersama golongan pakar untuk membendung ancaman wabak ini daripada terus merebak, kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah, termasuk menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan yang bertujuan memutuskan rantaian jangkitan.

Bukan itu sahaja, pada masa ini kita juga dapat melihat ada wakil rakyat yang sanggup menolak ke tepi soal politik dan bersatu demi menjaga rakyat Malaysia.

Ini menunjukkan bahawa kita sebagai rakyat Malaysia saling membantu meskipun berlainan fahaman politik

Syabas.



PETUGAS PERUBATAN

Penat?

Perkataan dan perasaan itu mungkin sangat kerap difikir dan dialami bagi kumpulan barisan hadapan paling utama ini, namun digagahi juga kerana ini tuntutan dan amanah tugas mereka.

Demi rakyat Malaysia, petugas perubatan, baik doktor, pembantu perubatan, jururawat, hinggalah kepada petugas am di pusat rawatan, sanggup berada di barisan hadapan untuk merawat semua pesakit COVID-19.

Semua itu perlu didepani meskipun mereka sedar mereka antara yang paling berisiko untuk dijangkiti.

Namun, dari hari pertama virus 'raksasa' ini muncul, merekalah adiwira yang berusaha keras menyelamatkan keadaan berdasarkan ilmu dan kepakaran dalam bidang profesion mereka.

#GoodJobMedicalTeam, usaha keras anda sangat kami hargai!

BACA : 12 petugas KKM dijangkiti COVID-19, seorang kini dalam ICU - KP Kesihatan

.


.



PIHAK BERKUASA KESELAMATAN

Hero ini bukan sahaja memastikan Malaysia kekal aman dan selamat malah mereka sanggup berhujan dan berpanas untuk memastikan rakyat Malaysia kekal patuh kepada undang-undang khususnya di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang dilancarkan.

Baik pasukan Polis Diraja Malaysia mahupun Angkatan Tentera Malaysia, mereka berkawal untuk memastikan masyarakat umum selamat berada di rumah sepanjang tempoh perintah yang menyokong penjarakan sosial itu dilaksanakan.

Ada yang terpaksa kembali bekerja dan cuti mereka dibekukan semata-mata untuk anda semua selamat daripada ancaman COVID-19.

BACA : Semua cuti pegawai dan anggota polis Kuala Lumpur dibekukan

BACA :
COVID-19: 540 anggota tentera bertugas di Selangor

Meskipun ada masyarakat yang masih 'nakal' mengingkari perintah itu, namun mereka tetap memberi layanan yang baik namun tegas, supaya undang-undang itu dipatuhi.

Terima kasih kepada semua pihak berkuasa yang terlibat.



PEKERJA PEMBERSIHAN

Tidak lupa, golongan yang bertanggungjawab dalam soal pembersihan demi memastikan persekitaran kita bebas daripada ancaman bakteria, virus dan bahan cemar yang lain.

Dari bangunan saringan kesihatan, ke pusat rawatan, hospital dan klinik, hinggalah ke bangunan awam, pengangkutan awam ke taman awam, semuanya mereka jaga.

Petugas kebersihan yang berbekalkan ilmu, tenaga, dan bahan pembersih dan bahan kimia khas sentiasa berusaha memastikan lingkungan hidup rakyat negara ini terjaga.

Penghormatan ini juga termasuk kepada kepada petugas pembersihan di jalanan, kerana tanpa mereka, aspek kebersihan menyeluruh tidak akan tercapai.

Begitu juga di saat-saat genting ini mereka kekal bersama kita untuk memastikan persekitaran kekal bersih supaya virus tersebut dapat dihapuskan.

Setiap yang kotor perlu dibersihkan! Bukan sekadar menyahkuman, malah kawalan kebersihan daripada sampah-sarap harian juga adalah asas kepada kehidupan sihat!




PENYEDIA BEKALAN

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini dilaksanakan, rakyat Malaysia menerusi wakil isi rumah masih boleh keluar mendapatkan barangan asas yang perlu untuk meneruskan kehidupan.

Antara yang termasuk dalam golongan ini adalah pihak yang menyediakan makanan, baik yang dijual di pasar raya (produk siap dimakan atau perlu diproses terlebih dahulu), makanan di kedai runcit dan serbaneka, mahupun makanan panas yang disiapkan kafe dan restoran tertentu untuk dibungkus dan dibawa pulang.

Lebih mencabar, semua persiapan makanan itu harus dilakukan dalam tempoh masa yang terhad berdasarkan perubahan dalam waktu operasi.

Tidak lupa juga, pada pembekal barangan keperluan harian seperti barangan penjagaan diri dan keperluan kediaman. Untuk setiap sesuatu yang kita dapat beli dan gunakan demi keselesaan, ingatlah bahawa ada sekumpulan pekerja di gedung-gedung dan kilang-kilang pengeluaran produk sedang bertungkus-lumus menyiapkannya demi menampung permintaan.



PETUGAS PENGHANTARAN

Selepas penyedia bekalan, sudah tentunya khidmat penghantar ketika ini menjadi pilihan orang ramai yang memilih untuk tidak meninggalkan kediaman dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Tidak kira panas mahupun hujan, golongan wira yang tak didendang ini sebenarnya memudahkan urusan keluarga, khususnya yang berada di kawasan yang berpopulasi padat.

Mereka yang dimaksudkan ini ialah pemandu atau penghantar bekalan untuk sektor penting seperti keperluan di pusat rawatan kesihatan, penghantar barangan ke kedai dan pasar raya untuk seterusnya dijual kepada pengguna, hinggalah kepada penghantar makanan secara panggilan yang kini setia berkhidmat untuk memenuhi keinginan selera orang ramai dalam waktu sukar.

Namun sedar atau tidak, golongan petugas penghantaran ini turut berisiko iaitu mereka terdedah pada ancaman jangkitan COVID-19.

Meskipun begitu, mereka ini tetap menjalankan tugas seperti biasa demi rakyat Malaysia.

BACA : COVID-19: Foodpanda laksanakan penghantaran tanpa sentuh

BACA : COVID-19: Domino's, Food Panda, antara yang laksanakan "Zero Contact"

BACA : Penghantar makanan depani risiko demi menjaga perut pelanggan




PETUGAS MEDIA

Siapa, apa, di mana, bila, mengapa dan bagaimana?

Mereka inilah yang sentiasa bertungkus-lumus dalam menyampaikan maklumat, dan sentiasa bersedia untuk menjalankan tugas itu tanpa mengira kekangan waktu, situasi dan tempat.

Sudah lumrah, itu semua bagi memastikan seramai mungkin anggota masyarakat dapat menerima maklumat yang terkini dan sahih, baik tentang berita perkembangan situasi, amaran, nasihat, panduan, peringatan, tip, tatacara urusan harian, dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, para petugas media juga harus bersaing dan melawan dengan pihak yang menyebarkan berita-berita yang tidak benar.







RAKYAT MALAYSIA KESELURUHANNYA!

ANDA! Ya, anda yang kami maksudkan.

Tidak kira siapa pun diri anda, apa juga peranan dan kerjaya anda, sama ada tergolong dalam perkhidmatan teras mahupun tidak, anda tetap merupakan komponen yang membentuk rantaian komuniti dalam masyarakat.

Pensyarah universiti atau guru sekolah, pemimpin komuniti atau pemimpin keluarga, ketua syarikat atau pekerja bawahan, lelaki atau wanita, tua atau muda... semuanya harus saling memberi nasihat, teguran, sokongan dan semangat pada orang terdekat di sekitar lingkungan kehidupan masing-masing.

Jika setiap daripada kita sanggup berkorban, memahami serta bersatu dalam mematuhi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan, hingga seterusnya dapat sama-sama bebas dari ujian mencabar ini .... maka secara tidak langsung, kita semua wajar meraikannya suatu hari nanti.

Sehingga hari yang kita harap dan impikan itu tiba, ingatlah bahawa kita semua mampu menjadi WIRA!

Ayuh, rakyat Malaysia!