Seorang doktor yang juga pemastautin tetap, kerugian RM30,000 selepas terpedaya dengan helah sindiket 'Macau Scam', kononnya beliau terbabit dengan kes penipuan dan pengubahan wang haram dalam kejadian di Raub pada 18 Jun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Yusof berkata warga emas berusia 72 tahun itu, sebelumnya menerima panggilan daripada seorang lelaki kononnya daripada Mahkamah Tinggi Alor Star, memaklumkan mangsa mempunyai hutang cukai RM17,600 bagi syarikat yang didaftarkan atas namanya.

"Mangsa yang menafikannya kemudian diminta membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar dan pada Khamis lepas, mangsa sekali lagi dihubungi seorang lelaki yang mendakwa dirinya adalah pegawai polis.

"Suspek mengatakan mangsa bukan sahaja mempunyai kes hutang, malah turut terlibat dengan kes pengubahan wang haram," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata selepas itu, mangsa diminta menyerahkan butiran lanjut maklumat akaun bank yang dimiliki bagi tujuan siasatan lanjut.

Katanya mangsa kemudiannya membuat semakan terhadap akaun bank miliknya dan mendapati RM30,000 telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga tanpa kebenarannya.

Mangsa yang sedar telah tertipu, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan. -- BERNAMA

Artikel berkaitan:

BACA: Akauntan pun kena tipu Macau Scam?

BACA: Pensyarah rugi RM260,000 ditipu 'Macau Scam'

BACA: Eksekutif wanita ditipu sindiket Macau Scam

BACA: Empat rakyat Malaysia suspek 'Macau Scam' ditahan di Thailand

BACA: Pembantu makmal rugi RM58,290, ditipu Macau Scam