Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dilantik sebagai ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia bagi sesi 2020-2021.

Pengarah Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur itu merupakan antara 12 lantikan baharu MPPN yang terdiri daripada 10 ahli tetap dan dua ahli bersama, menurut kementerian tersebut dalam satu kenyataan.

Selain Dr Irmohizam sebagai ahli tetap, turut dilantik ialah Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Dr Jeffrey Cheah, Prof Fatima Mohamed Arshad dan Francis Lau Tuang Nguang.

Lima lagi individu yang dilantik ke jawatan tersebut ialah Prof Dr Mad Nasir Shamsudin, Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, Prof Dr Suhaimi Napis, Prof Dr Sivamurugan Pandian serta Prof Dr M Niaz Asadullah.

Manakala Dr Yasmin B H Ooi dan Raghu Loganathan Pillai merupakan dua individu yang dilantik sebagai ahli bersama.

Kesemua yang dilantik akan menerima surat pelantikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee semasa mesyuarat pra-majlis MPPN di Wisma Tani, Putrajaya.

Mereka yang dilantik bertindak sebagai badan penasihat tertinggi kepada Ronald Kiandee dalam mengenal pasti isu berkaitan sekuriti makanan serta sektor pertanian dan industri makanan.

Selain itu, mereka akan mengenal pasti langkah intervensi yang sesuai serta mencadangkan hala tuju baharu sektor tersebut mengikut perkembangan dan keperluan semasa secara menyeluruh serta holistik.

“MPPN ini juga akan bertindak sebagai pelengkap kepada strategi yang didukung oleh kementerian agar lebih efisien dan produktif,” tulis kenyataan itu.

Beberapa pendekatan baharu akan diperkenalkan bagi meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan MPPN.

Antaranya, Kiandee sendiri akan mempengerusikan majlis itu untuk terlibat secara langsung bersama pakar serta pemain dalam sektor pertanian dan industri makanan.

Jelasnya, ia bertujuan membawa perubahan dasar bagi memanfaatkan golongan petani, nelayan dan penternak serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan dapat meningkatkan hasil pendapatan negara secara keseluruhannya.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa nama MPPN akan dipinda kepada “Majlis Penasihat Pertanian dan Industri Makanan Negara” berdasarkan skop baharu kementerian tersebut yang turut merangkumi industri makanan.