Seorang suri rumah di sini terpaksa berputih mata apabila kerugian RM236,900 selepas diperdaya sindiket penipuan menawarkan hadiah wang tunai yang tidak wujud, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula 22 Oktober lalu, apabila suri rumah berusia 33 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang menyatakan dia memenangi hadiah wang tunai RM216,240 dari sebuah syarikat barang kemas dari Hong Kong.

"Namun bagi mendapat hadiah wang tunai itu, mangsa diminta untuk membayar RM6,860 untuk proses tuntutan. Mangsa kemudian membuat bayaran berkenaan ke dalam satu akaun yang diberikan suspek.

"Suspek mendakwa akaun berkenaan milik wakil syarikat yang menguruskan bahagian pindahan wang ke Hong Kong dari Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun selepas itu, suspek meminta lagi mangsa membayar wang bagi mendapatkan hadiah kemenangan berkenaan dengan diberikan pelbagai alasan.

"Suspek juga mendakwa wang itu dilabur terlebih dahulu dan hasil pelaburan itu nanti akan memberikan pulangan sebanyak RM3.2 juta kepada mangsa.

"Mangsa yang gelap mata dengan wang sebanyak itu kemudian membuat transaksi sebanyak sembilan kali ke dalam empat akaun yang berlainan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM236,900," katanya.

Beliau berkata, namun suspek masih lagi meminta mangsa menambah bayaran, namun dia mensyaki dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, semalam.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.