Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa loket berlian merah jambu 22 karat yang dikatakan dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM112.6 juta (AS$27 juta) adalah hadiah daripada Putera Raja Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam satu wawancara bersama organisasi media antarabangsa Al Jazeera, bekas perdana menteri itu berkata, berlian tersebut diberi oleh Sheikh Mansour yang merupakan Pengerusi International Petroleum Investment Company (IPIC).

Najib turut mendedahkan bahawa Sheikh Mansour merupakan kenalan rapat ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang kini dikehendaki di pihak keselamatan MaIaysia berhubung skandal 1MDB.

“Kita tahu Jho Low rakan rapat Sheikh Mansour dan loket berlian itu adalah hadiah daripada Sheikh Mansour,” katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata isterinya, Datin Seri Rosmah Mansour tidak pernah menerima berlian berkenaan.

“Memang ada hadiah daripada Sheikh Mansour tetapi isteri saya tidak menerimanya. Apa yang berlaku tentang berlian merah jambu itu adalah pertikaian. Jadi jangan buat kesimpulan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila pengacara, Marie Ann Jolley bertanya mengenai wang sebanyak RM112.6 juta (AS$27 juta) digunakan daripada dana 1MDB untuk membeli loket berlian itu untuk Rosmah.

Pada tahun 2017, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa dana RM2.25 bilion (AS$540 juta) telah diselewengkan daripada 1MDB.

DOJ mendakwa Rosmah pernah berkomunikasi dengan Jho Low dan pereka loket tersebut.