“Jika ini adalah hari terakhir kita bernafas di atas muka bumi ini, pastinya kita akan melakukan terbaik buat agama kita untuk mendapatkan syafaatnya di akhirat kelak.

Ini luahan pelakon Norman Hakim dalam menyatakan keterujaannya dalam menyemarakkan gelombamg program World #QuranHour.

Pelakon yang juga salah seorang duta untuk program ini selain aktor Datuk Rosyam Noor, menyatakan keterujaannya dalam peranan dan penggunaan media sosial era ini untuk memanfaatkaan program tahunan ini.

“Dengan penggunaan media sosial yang menjadi keutamaan pada masa ini, saya pasti ramai yang akan turut serta dalam program yang dapat memberi manfaat kepada semua.

“Saya juga ingin menyeru kepada rakan-rakan artis yang sudah sedia ada mempunyai pengikut di media sosial mereka untuk menggunakan platform ini untuk mengajak orang ramai turut serta dalam program World #QuranHour,” katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas Taklimat Sinergi Media World #QuranHour di sini, pada Selasa.

Program World #QuranHour yang dianjurkan untuk kali ke-3 akan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 7 Jun 2018 bersamaan dengan 22 Ramadhan 1439H.

Program ini hasil gabungan sepuluh media tempatan rasmi di negara ini dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

Taklimat Sinergi Media World #QuranHour. Foto: Astro AWANI/Siti Nursyazwani

Menurut Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub, program kali ini lebih teratur dari segi perancangannya dalam memastikan rakyat Malaysia teruskan budaya membaca al-Quran dalam kehidupan seharian mereka.

“Kelainan program untuk edisi ketiga ini adalah perancangannya lebih teratur dan gelombang untuk memastikan lebih ramai umat Islam di negara ini untuk turut serta dalam program ini.

“Ia untuk memastikan umat Islam mendekati al-Quran dengan cara memahami dan menjadikan kitab suci ini sebagai panduan dalam kehidupan,” kata Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf.

Dalam pada itu, program kali ini mengangkat Surah Al-Hujurat sebagai surah utama dengan panduan pembentukan umat berakhlak mengikut panduan al-Quran.

Surah tersebut akan difahami (tadabbur dan tazakkur) dengan empat surah lain iaitu surah Al-Fatihah sebagai Ummul Quran; Surah Al-Baqarah sebagai puncak Quran; surah Yassin sebagai Qalbu Quran serta surah Luqman menjadi misi sepanjang tahun untuk membina keluarga.