Kerajaan membelanjakan sebanyak RM35.14 billion bagi kos pembinaan melibatkan 29 lebuh raya di seluruh negara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata 29 lebuh raya berkenaan adalah jumlah lebuh raya bertol yang masih beroperasi sehingga tamat tempoh konsesi.

"Kos purata bagi perbelanjaan operasi dan penyelenggaraan untuk semua 29 lebuh raya yang masih beroperasi adalah sebanyak RM1.7 bilion setahun.

"(Manakala) Sebanyak RM402 juta setahun penyelenggaraan rutin dan RM459 juta setahun penyelenggaraan berkala dan naik taraf lebuh raya (dibelanjakan) di mana jumlah keseluruhan kos operasi dan penyelenggaraan dianggarkan sebanyak RM2.5 bilion," katanya menjawab soalan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) di sini.

Baru berkata jumlah pampasan yang telah dibayar dari tahun 1990 sehingga 2017 adalah sebanyak RM5.109 bilion dan jumlah hasil tol (dikutip) dari mula operasi sehingga 2017 adalah RM74.654 billion.

Katanya, selain itu terdapat dua konsesi tol lebuh raya dijadualkan tamat dalam tempoh 10 tahun,16 lebuh raya dijadualkan tamat dalam tempoh 11 hingga 20 tahun dan 11 lebuh raya melebihi 20 tahun.