Seorang penjawat awam dan kekasihnya ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang lelaki yang maut ditembak di kawasan Ladang Sungai Rui, Ban Pasir, Jalan Gerik-Kupang 7 April lepas.

Mangsa ditemui dengan kesan tembakan di bahagian kepala, dada dan perut.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada cinta tiga segi sehingga menyebabkan pergaduhan antara suspek dan mangsa.

Ia dipercayai tercetus akibat perasaan cemburu.


“Suspek, seorang pegawai kerajaan berusia 42 tahun dan teman wanitanya, 38 tahun berjaya ditahan tiga hari kemudian pada 10 April selepas penemuan mayat dibuat.

"Hasil siasatan, kedua-dua suspek akhirnya semalam (Ahad) mengaku terlibat sehingga membawa kepada kematian mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.


Menurut beliau lagi, polis juga turut menahan suspek ketiga yang merupakan individu terakhir berhubung dengan mangsa.

Mangsa yang merupakan seorang pemandu bas ditemui maut di lokasi kejadian bersama motosikal berkuasa tinggi dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, untuk bedah siasat.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut disebabkan tiga das tembakan.

Susulan kejadian, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) melancarkan gerakan memburu suspek yang membawa kepada penemuan sepucuk pistol dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jong, Gerik.

“Serbuan ke rumah ibu suspek, polis menjumpai pistol yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa.

"Dalam satu lagi serbuan berasingan kami menemui dua buah telefon bimbit milik mangsa yang dibuang oleh suspek di kawasan semak bawah jambatan di Kilometer 22, Jalan Gerik-Kupang,” ujarnya lagi.


Mengulas lanjut, Yahya berkata satu pergaduhan tercetus di antara kedua-dua suspek dan mangsa yang membawa kepada ketegangan sehingga mencetuskan kejadian tembak.

“Ketika ditahan suspek telah mengaku menembak mangsa dan membawa pihak polis ke dua lokasi kejadian, di mana polis berjaya merampas sepucuk pistol jenis Colts Convenent dan 35 butir peluru hidup .45 di rumah ibu suspek,” katanya.

Jelasnya, suspek yang berusia 42 tahun itu telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak berusia di antara tujuh hingga 10 tahun dan merupakan anak tempatan di Gerik.

“Kejadian ini berpunca daripada masalah peribadi, dimana wanita tersebut merupakan bekas isteri kepada mangsa dan dipercayai mangsa cuba untuk merujuk semula perkahwinan mereka selepas bercerai pada Disember lepas.

“Bagaimanapun, suspek merupakan pilihan wanita tersebut, yang membawa kepada perbalahan ketiga-tiga individu ini,” kata Yahya, sambil memberitahu ketiga-tiga suspek dan mangsa saling mengenali.

Yahya berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dikemukakan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak bagi tindakan selanjutnya.