Keputusan yang dilakukan Lembaga Pengarah Khazanah adalah keputusan yang dilakukan mereka sendiri.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata perkara tersebut tidak dibincangkan di peringkat Kabinet.

"Ini adalah keputusan mereka. Kami di Kabinet tidak membincangkan perkara ini," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Beliau diminta memberi respon kepada tindakan Lembaga Pengarah Khazanah untuk menawarkan untuk meletak jawatan.

Semua Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad, termasuk Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar menawarkan perletakan jawatan bagi memastikan peralihan kepimpinan kepada kerajaan baharu dan hala tuju dana kekayaan kedaulatan itu terurus dan berjalan lancar.

Antara ahli lembaga pengarah lain terdiri daripada Datuk Seri Nazir Abd Razak, Datuk Dr Nirmala Menon, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Datok Mohammed Azlan Hashim, Yeo Kar Peng, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Raja Tan Sri Arshad Raja Uda.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Khazanah melaporkan kesemua ahli lembaga pengarah berbangga diberi peluang menawarkan perhidmatan mereka dengan syarikat berkenaan.