Syarikat penerbangan Malaysia Airlines, (MAS) akan membawa waris-waris mangsa MH17 ke upacara memperingati insiden pesawat nahas itu di Amsterdam, Belanda pada 17 Julai nanti.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, setakat ini seramai 85 ahli keluarga mangsa telah bersetuju untuk mengikuti memorial yang dianjurkan kerajaan Belanda itu.

"Hari ini lebih kurang 196 ahli keluarga telah hadir sama-sama menjayakan majlis memperingati MH17 di negara kita.

"Kami telah menjemput mereka ke Belanda pada 17 Julai nanti untuk hadir di majlis memperingati di Belanda. Setakat ini seramai 85 orang telah bersetuju untuk ke sana," jelas beliau kepada Astro AWANI hari ini selepas sidang media Upacara Memperingati Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, KLIA .

Sebelum ini difahamkan hanya dua orang waris mangsa sahaja dibenarkan untuk ke memorial di Amsterdam itu.

BACA: #SetahunMH17: Harapan dan doa banjiri laman sosial
BACA: Laporan akhir siasatan teknikal insiden MH17 akan dikemukakan Oktober - Najib Razak

Pihak kementeriannya juga telah mengarahkan supaya MAS mempercepatkan proses pemberian pampasan kepada waris mangsa.

Selain itu Liow juga berkata, Malaysia komited menyuarakan cadangan perbaikan untuk meningkatkan keselamatan industri penerbangan di peringkat dunia.

Antaranya dengan memperkenalkan sistem pengesanan International Global Trekking untuk semua pesawat komersial.

"Saya sendiri telah hadir mesyuarat di ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) dan mesyuarat di ECAC (Persidangan Penerbangan Awam Eropah) di mana kedua-dua mesyuarat penting ini saya telah cadangkan kita perlu adakan International Global Trekking untuk semua pesawat-pesawat komersial.

"Yang keduanya bagi laluan-laluan berisiko tinggi di kawasan konflik, ICAO perlu memberi amaran untuk memberi maklumat yang terperinci kepada semua penerbangan. Maka, maklumat-maklumat dikongsi di antara seluruh negara dapat diketahui melalui ICAO. Ini akan dapat menjamin keselamatan pesawat yang kita lalui," tambah beliau.

MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh ketika melalui kawasan udara sempadan Ukraine-Rusia pada 17 Julai 2014, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.