Menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB), masyarakat India yakin bahawa ia menandakan bermulanya era baharu buat mereka di negara ini.

Presiden Parti Makkal Sakti Datuk Seri RS Thanenthiran berkata inisiatif yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu merupakan yang pertama seumpamanya dan parti secara sukarela akan membantu dalam pelaksanaan pelan tindakan itu.

"Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri atas usaha ikhlas dan kesungguhan mahu menyelesaikan isu-isu membelenggu masyarakat India di negara ini.

"Oleh itu, kami menawarkan diri kami untuk menjadi mata kepada kerajaan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan pelan tindakan itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Thanenthiran juga berkata di samping jaminan untuk melindungi bahasa Tamil dan mengekalkan sekolah vernakular di negara ini, beliau berharap tidak lama lagi akan diwujudkan sekolah menengah Tamil yang pertama di negara ini.

"Untuk mempunyai sekolah menengah merupakan impian masyarakat ini sejak sekian lama dan saya berharap ia tidak akan terlepas pandang," katanya.

Thanenthiran menegaskan pendidikan amat penting bagi masyarakat itu dalam usaha untuk mengatasi gangsterisme dan masalah sosial lain melibatkan belia India.

"Dengan pendidikan baik dan dilengkapi nilai-nilai moral dan agama, mereka akan mempunyai masa depan lebih baik," katanya.

Semalam, Najib semasa melancarkan MIB berkata ia merupakan komitmen dan kesungguhan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus membangunkan taraf hidup kaum India.

Beliau berkata pelan tindakan itu, yang dirangka untuk membantu masyarakat berkenaan terutama golongan B40 (golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah), dihasilkan dengan teliti melalui pendekatan secara menyeluruh dan inklusif.

Najib berkata perjalanan inisiatif yang digariskan di dalam dokumen itu akan dipantau Jawatankuasa Khas Kabinet Masyarakat India (CCIC) yang dipengerusikan beliau manakala pelaksanaannya akan dipantau Jawatankuasa Exco yang dipengerusikan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam. -- BERNAMA