Menteri Kewangan Lim Guan Eng mahu bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab beberapa persoalan mengenai dakwaan kehilangan wang Tabung Bayaran Balik GST berjumlah RM19.25 bilion.

Dalam satu kenyataan kepada media hari ini, Guan Eng berkata polis akan mengambil keterangannya dan tiada alasan untuk Najib mengelak daripada menjawab tentang kehilangan wang berkenaan.

“Pihak polis akan mengambil keterangan saya minggu hadapan berkaitan dengan skandal ini dan Najib tidak akan ada lagi alasan untuk mengelak daripada menjawab tiga soalan penting tentang kehilangan RM19.25 bilion dalam Tabung Bayaran Balik GST yang menjejaskan 121,429 syarikat dan individu.

“Pertama, adakah Najib meluluskan keputusan agar pembayaran balik GST tidak dibuat dalam masa dua minggu seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang?

"Kedua, adakah Najib meluluskan keputusan yang dibuat oleh Tan Sri Mohd Irwan Serigar untuk tidak memindahkan keseluruhan jumlah RM82.9 bilion seperti yang diminta oleh Jabatan Kastam, tetapi hanya memindahkan RM63.5 bilion sejak tahun 2015; yakni kekurangan pemindahan dana sebanyak RM19.25 bilion kepada Tabung Bayaran Balik GST?

“Ketiga, adakah Najib memberikan kelulusan agar jumlah pembayaran balik GST yang tidak dikembalikan sejak tahun 2015 dianggap sebagai hasil pendapatan kerajaan untuk digunakan secara sesuka hati?” soalnya dalam kenyataan itu.

Jelas Guan Eng, pembayaran balik tidak dapat dilakukan kerana cuma ada RM148.6 juta dalam Tabung Bayaran Balik GST iaitu kekurangan RM19.25 bilion daripada jumlah sebenar RM19.4 bilion.

Tambah Guan Eng, sejumlah besar syarikat dan individu yang terjejas sekarang bertanya-tanya mengapa RM19.4 bilion tersebut tidak dibayar balik dalam masa dua minggu seperti yang termaktub di dalam undang-undang, sama ada sejak tahun 2015, 2016, 2017 atau 2018.