Jumlah peserta yang hadir ke Himpunan Kesyukuran Penolakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) yang berlangsung di Dataran Merdeka pada 8 Disember 2018 tidak boleh ambil mudah oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

Hujah penganalisis politik, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid, Himpunan 812 menunjukkan bahawa isu-isu yang berkaitan agama, raja-raja dan orang Melayu masih menjadi elemen penting kepada politik tanah air.

"Pakatan Harapan tidak seharusnya menolak secara mentah-mentah jumlah kehadiran peserta Himpunan 812 di Dataran Merdeka kerana ramai yang menyokong tetapi tidak hadir.

"Pakatan Harapan perlu melihat bahawa penganjuran Himpunan 812 diterima oleh orang Melayu dan persoalan tunjang iaitu agama, raja-raja dan orang Melayu masih menjadi elemen penting," katanya kepada Astro AWANI.

Namun katanya, sekiranya jumlah kehadiran peserta ke himpunan tersebut diambil kira sebagai penanda aras sokongan kepada pembangkang, penganjurannya boleh dianggap sebagai gagal.

Ini kerana jumlah kehadiran sepatutnya lebih besar kerana isu yang diangkat untuk perhimpunan tersebut masih tunjang utama politik negara.

Mengulas lanjut, Dr Hamidin melihat Himpunan 812 menjadi cabaran kepada Pakatan Harapan untuk menyakinkan pengundi Melayu bahawa perlembagaan negara tidak akan diubah.

"Persoalan mengenai ICERD ini lebih menjurus kepada orang Melayu dan agama Islam, sebab itu kita melihat cuma satu kaum sahaja mendominasi Himpunan 812.

"Perkara ini menjadi cabaran kepada Pakatan Harapan untuk menyakinkan pengundi Melayu bahawa perlembagaan itu sentiasa di junjung maknanya ia kekal.

"Perlu yakinkan pengundi Melayu bahawa tidak ada sebab, tidak ada alasan dan tidak ada sebarang usaha untuk meminda apa yang termaktub dalam perlembagaan negara," katanya lagi.

Pakatan Harapan akan berdepan masalah untuk membina satu keyakinan baru dalam kalangan pengundi Melayu bahawa kepentingan, pemikiran dan naratif mereka tentang kedudukan orang Melayu di Malaysia pada masa akan datang akan kekal sekiranya masyarakat tidak didedahkan dengan maklumat terkini dan tepat.

Dr Hamidin berkata pasca Himpunan 812 memberi isyarat bahawa kematangan politik perlu ditunjukkan dengan cara rakyat diberi maklumat yang terkini dan tepat mengenai sesuatu isu.

"Kedua-dua pihak, sama ada Pakatan Harapan atau UMNO dan Pas perlu menunjukkan kematangan politik dengan memberi maklumat terkini dan tepat kepada rakyat.

"Kita sudah mencapai satu tahap bahawa masyarakat berpolitik dengan maklumat yang terkini dan tepat," katanya.

Mengulas mengenai kerjasama UMNO dan Pas, Dr Hamidin menjelaskan Himpunan 812 tidak memberi penanda aras baharu bahawa akan ada kerjasama rasmi antara dua parti orang Melayu itu.

Himpunan 812 juga menunjukkan kematangan politik di pihak kerajaan kerana tidak ada sekatan atau tangkapan terhadap mana-mana pemimpin dilakukan sebelum dan selepas perhimpunan.

Ini berbeza ketika Barisan Nasional memerintah, di mana setiap kali pembangkang mahu menganjurkan himpunan seperti Bersih, akan berlaku tangkapan terhadap pemimpin utama beberapa hari sebelum penganjurannya dan banyak sekatan jalan raya dibuat.