Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan merangka pelan strategik Dasar Dadah Negara dalam usaha menangani masalah berkaitan dadah secara holistik dan komprehensif.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata dasar itu kelak akan menjadi rujukan dan panduan utama dalam usaha memerangi dadah di negara ini.

"Pada mesyuarat jemaah menteri pada 10 Mac lepas, kerajaan bersetuju dengan Dasar Dadah Negara sebagai sumber rujukan dan panduan utama dalam usaha memerangi dadah di semua peringkat pelaksanaan seluruh negara.

"Pelan tersebut yang merangkumi lima teras utama iaitu teras pencegahan, teras rawatan dan pemulihan; teras penguatkuasaan; teras pengurangan kemudaratan dan teras bekerjasama antarabangsa akan digunakan dalam memerangi dadah secara holistik," katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Nur Jazlan menjawab soalan Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim) mengenai statistik terkini jumlah penagih dadah serta tangkapan yang dilakukan sejak 2015 dan 2016 serta langkah-langkah efisien bagi membanteras penyalahgunaan dadah daripada berleluasa.

Menurutnya, berdasarkan statistik terkini AADK sehingga September tahun lepas, seramai 30,846 penagih dadah telah ditangkap berbanding 26,626 penagih pada tahun 2015.

-- BERNAMA