Anggota Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Faiz Fadzil mendesak Pemuda DAP (DAPSY) memohon maaf berhubung tindakan menampal tulisan Cina pada tiga papan tanda jalan di Kuching.

Tampal pelekat bahasa Cina - Tidak peka sentimen masyarakat majmuk

Dalam satu kenyataan, Faiz menegaskan tindakan DAPSY itu tidak menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selain melanggar Perlembagaan Persekutuan.

"Tindakan seperti ini boleh mengundang salah faham dalam kalangan masyarakat lain di dalam negara ini terutama orang Melayu yang boleh diapi-apikan oleh sesetengah pihak untuk menyemarakkan sentimen perkauman.

"Sebagai bahasa rasmi negara, Bahasa Melayu adalah tunjang kepada perpaduan masyarakat majmuk negara ini dan seharusnya DAPSY lebih peka akan keperluan ini dalam membina sebuah negara bangsa yang makmur dan berdaya saing.

"Sebagai golongan muda, mempromosi dan membina perpaduan di kalangan rakyat negara ini kini menjadi keutamaan perjuangan," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir itu juga menyifatkan alasan yang diberikan bagi memudahkan pelancong asing terutama dari negara China adalah remeh kerana setiap pelancong perlu menghormati bahasa kebangsaan sesebuah negara.

"Sudah pasti pelancong luar juga mahu mengenali bahasa kebangsaan negara yang dikunjungi.

"Inilah masanya rakyat Malaysia mempromosikan Bahasa Melayu dan pada masa yang sama menunjukkan jati diri rakyat Malaysia yang berbangga dengan bahasanya sendiri.

"Setiap negara mempunyai bahasa kebangsaan yang membentuk identiti sesebuah negara," katanya lagi.

Tular di media sosial tindakan beberapa ahli DAPSY Sarawak menampal pelekat dalam bahasa Cina pada beberapa papan tanda jalan di bandar raya Kuching.

Mereka memberikan alasan nama jalan di bandar raya itu perlu diterjemahkan untuk keperluan pelancong dari China.