KUALA LUMPUR:Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan bekerja dari rumah (WFH) yang berkuat kuasa mulai hari ini bertujuan untuk mengurangkan pergerakan dan interaksi dalam kalangan masyarakat.

Menerusi arahan tersebut, beliau berkata, ia berkemungkinan dapat membantu menjayakan usaha memutuskan pandemik COVID-19.

“Bayangkan satu juta yang boleh WFH ini tidak ke pejabat.

“Jadi, satu juta pergerakan, dan satu juta mereka (yang) berinteraksi dengan satu sama lain (tidak akan berlaku).

“Apabila kami kurangkan pergerakan, mungkin kami lebih berjaya untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini kerana semakin kurang orang dapat berinteraksi antara sesama satu lain,” katanya pada sidang media harian berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan berkenaan arahan WFH itu sedangkan orang ramai masih boleh mengunjungi pasar malam dan kompleks beli-belah.


“Kami tidak menutup sektor ekonomi kerana rakyat bergantung kepada setiap pekerjaan yang mereka ada.

“Jika berniaga, mereka bergantung hidup kepada berniaga.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang bekerja di kilang dan di jabatan kerajaan, mereka ialah pekerja yang sebahagiannya tidak perlu berada di pejabat,” jelasnya.

Tambahnya, arahan tersebut seiring dengan nasihat Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah yang menasihati orang ramai agar duduk di rumah.

Pada Selasa, beliau berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) menganggarkan hampir 800,000 pekerja sektor industri dan seramai hampir 200,000 penjawat awam terlibat dalam pelaksanaan arahan WFH itu.

Semalam, MITI membenarkan maksimum 10 peratus pekerja merangkumi tugasan tertentu berada di pejabat di negeri yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat jam sahaja bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang untuk tiga hari seminggu.