Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kesemua Jemaah Menteri melaksanakan tugas masing-masing, walaupun ada di antara mereka seolah-olah tidak kelihatan di mata rakyat.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau sendiri memantau prestasi kesemua menteri berkenaan termasuk pegawai-pegawai atasan, bagi memastikan mereka terus berkhidmat kepada rakyat mengikut tanggung jawab kementerian masing-masing.

Perdana Menteri berkata, buat masa ini keutamaan kerajaan adalah usaha menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini, seperti mana yang dikehendaki rakyat.

“Sebab itu saya tentukan hanya ada satu, dua jurucakap sahaja. Katalah Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dia jurucakap daripada sudut kerajaan, dengan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah agak popular sekarang ini kerana bercakap tentang soal COVID-19.

“Tiap-tiap jam 5 petang, orang akan menunggu sidang media. Jadi tidak ada terganggu oleh kerana banyaknya juru bicara, dan itu sengaja saya buat, supaya tak terganggu. Tapi tidak bermakna menteri (yang lain) tak menjalankan tugas,” jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif bersama Editor Astro AWANI Essan Yahya, dan penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Zaleha Khairene Ismail di Bangunan Putra Perdana, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, amat penting untuk menteri yang menjaga portfolio lain untuk terus bertugas, bagi memastikan tidak ada lambakan kerja selepas tamat tempoh PKP kelak.

“Mungkin dalam keadaan sekarang ini, tak banyak kenyataan yang dikeluarkan, maka orang kata oh menteri tak kerja … walhal menteri bekerja.

“Dan dua bulan ini tak ada gaji pun, sebab kita kata sumbangan gaji diserah kepada kerajaan. Jaminan saya ialah kabinet, menteri yang ada akan melaksanakan tugas, sebagaimana yang telah pun diamanahkan untuk kepentingan rakyat, walaupun dalam keadaan yang sukar,” katanya lagi.