Peralatan perlindungan diri (PPE) untuk semua petugas kesihatan di negeri Sarawak adalah mencukupi dan tidak akan dikitar semula.

Menurut Pengarah Jabatan kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Chin Zin Hing, pihaknya akan sentiasa memastikan bekalan PPE mencukupi untuk setiap petugas kesihatan yang bertugas mengikut jadual.

“Kami mencuba sedaya upaya untuk tidak mengitar semula PPE, saya rasa sekarang dengan stok tambahan yang ada, kami akan pastikan perkara tersebut tidak akan berlaku.

“Tetapi untuk setakat ini, petugas kesihatan tidak menggunakan lebih daripada satu set PPE sehari, kami akan memastikan usaha ini dilaksanakan,” katanya semasa sidang media harian COVID-19 JPBN di Kuching pada Jumaat.

Dr Chin berkata demikian sebagai menjawab dakwaan yang mengatakan terdapat pekerja kesihatan di negeri itu yang diarah untuk mengitar semula PPE.