Operasi besar-besaran menangkap anjing terbiar diadakan petang hari ini berikutan satu kes positif rabies yang dikesan pada seekor anjing di Sekolah Menengah Kebangsaan Julau No. 2, pada akhir tahun lalu.

Residen Bahagian Sarikei Junaidi Mohidin berkata operasi tersebut merangkumi 10 kilometer radius dari sekolah itu, melibatkan lapan kawasan panas yang dilaporkan banyak anjing terbiar berkeliaran.

Beliau berkata operasi itu disertai 50 anggota daripada pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Daerah Sarikei (MDS), Majlis Daerah Meradong Julau (MDMJ), Majlis Daerah Kanowit (MDK), Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS).

Turut serta dalam operasi ialah Ketua Kesihatan Awam, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr. Cheong Yaw Ling.

"Walaupun hanya terdapat satu kes positif tetapi kita bersyukur kerana tidak melibatkan kes rabies ke atas manusia.

"Kes rabies di bahagian Sarikei adalah terkawal tetapi kita tidak boleh sambil lewa kerana tidak tahu mungkin terdapat anjing-anjing lain yang positif," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat operasi penangkapan anjing terbiar di Julau di Pejabat Daerah Julau hari ini.

Junaidi meminta masyarakat di daerah ini supaya memaklumkan segera kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak berkuasa tempatan sekiranya terdapat anjing yang mempunyai tanda jangkitan virus rabies di kawasan masing-masing.

"Kalau terkena gigitan anjing hendaklah dapatkan rawatan segera di klinik berhampiran. Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei juga ada membuka klinik gigitan anjing," katanya.

Sementara itu Dr Cheong berkata mana-mana anjing yang ditangkap semasa operasi itu akan diperiksa dan divaksinkan sekiranya bertuan.

Bagaimanapun sekiranya anjing tersebut didapati ada jangkitan virus rabies, tindakan menidurkan akan diambil, katanya.

-- BERNAMA