Kerajaan meminta supaya penganjur perhimpunan 'kesyukuran' penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) supaya bekerjasama dan membantu polis serta pihak berkuasa.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia bagi memastikan tidak berlaku kekacauan pada perhimpunan hari Sabtu (8 Disember) itu.

"Penganjur perlu membantu pihak polis dan pihak berkuasa yang lain di dalam memastikan tidak berlaku kekacauan atau kerosakan ke atas harta benda awam.

"Jika boleh, jangan buang sampah di merata-rata dan jagalah kebersihan. Saya doakan agar perhimpunan itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan," katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial beliau.


Beliau pada masa sama turut berterima kasih kepada penganjur kerana memberi sokongan kepada keputusan kerajaan untuk menolak ICERD.

Malah, jelasnya kerajaan tidak berhasrat menghalang atau menukar tarikh penganjuran perhimpunan itu kerana dilihat bertentangan dengan dasar kerajaan yang mendokong prinsip-prinsip demokrasi.

"Marilah kita sama-sama meraikan demokrasi di Malaysia," katanya.