Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang bimbang dengan fitnah terhadap agama Islam bertitah agar umatnya bersatu untuk membendung dan menangkis gejala tersebut.

Menurut baginda, fitnah yang dihadapi itu lebih membimbangkan kerana musuh Islam berusaha mengelirukan orang Islam dengan mencampurkan ilmu syariat yang sahih dengan tidak sahih sehingga sukar dipastikan keasliannya.

"Garapan palsu oleh pemfitnah telah mencemarkan kemurniaan dan keindahan syariat Islam sehingga sukar debendung," titah baginda semasa merasmikan Pusat Sunnah di Masjid Lama di sini hari ini.

Masjid tersebut yang terbiar lebih 10 tahun diubah suai oleh Jabatan Mufti Negeri dan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) untuk dijadikan Pusat Sunnah.

Berangkat sama pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah tanggungjawab membanteras penipuan atas nama Islam harus berteraskan ilmu sebenar dan pembukaan Pusat Sunnah ini adalah antara matlamatnya.

"Sejak turun-temurun lagi Perlis adalah bumi yang kaya dengan pengajian ilmu dan menggalakkan penganjuran majlis-majlis bercorak ilmiah dalam pelbagai bidang termasuk pengajian ilmu klasik, isu-isu dan kontemporari.

"Dalam kepelbagaian pengetahuan yang dikurniakan oleh Allah, saya memandang bahawa tidak boleh tidak ia harus disebarkan dan dipelajari secara sistematik untuk melahirkan generasi yang mampu mengukuhkan kepercayaan manusia terhadap Islam ," titah baginda.

Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang ditemui kemudiannya berkata pengajian di pusat tersebut adalah percuma dan akan mula beroperasi bulan depan yang kumpulan pertama bakal disertai kira-kira 30 orang.

Tuanku syed Faizuddin turut menyampaikan replika enjin bot, bernilai RM24,000 sumbangan MAIPs kepada Masjid Al-Khairah, Pulau Panjang, Selatan Thaland sebelum dipasang enjin sebenarnya pada sebuah bot pengangkutan awam untuk kegunaan penduduk Pulau Panjang. - BERNAMA