Tindakan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD),tidak memberi kesan kepada mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan terutamanya hak istimewa Melayu dan Islam.

Presiden Pertubuhan Pengamal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Porguam) Noorazmir Zakaria berkata, sebarang tindakan untuk menguatkuasakan sebarang konvensyen mahupun triti antarabangsa di dalam Negara hendaklah dilaksanakan melalui penggubalan undang-undang di Parlimen.

Noorazmir berkata, hal itu dipersetujui rata-rata pengamal undang-undang yang menyertai sesi meja bulat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pada 7 November, 2018 lalu.

"Malah sebarang pindaan terhadap isu hak istimewa Melayu di dalam Perlembagaan juga hendaklah melalui pindaan Perlembagaan di Parlimen secara undian 2/3 majoriti daripada para ahli Parlimen," katanya.

BACA: Kerajaan kaji ICERD sebelum buat sebarang keputusan

Justeru, katanya cakap-cakap yang mengatakan ratifikasi ICERD ini akan secara langsung terus menyebabkan hak istimewa Melayu dan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan tergugat merupakan andaian yang tidak jujur di sisi nas undang-undang yang wujud di dalam Negara.

"Mengikut rekod, Malaysia telah meratifikasi beberapa konvensyen antarabangsa dengan ‘reservation’ seperti Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW).

"Walaupun Malaysia telah meratifikasi CEDAW, namun Mahkamah Rayuan dalam kes berkaitan memutuskan bahawa CEDAW tidak pun boleh dikuatkuasakan di Malaysia kerana ia tidak pun digubal menjadi undang-undang di dalam Negara," ujarnya.

BACA: ICERD: Jangan buat andaian melampau - Mujahid

Apatah lagi, katanya ahli Dewan Rakyat Pakatan Harapan kini tidak pun membentuk 2/3 majoriti.

"Malah, jika dibawa ke Dewan Negara sekalipun, majoriti Ahli Dewan Negara adalah dikuasai pembangkang iaitu BN.

"Sedangkan Dewan Negara baru-baru ini telah menolak untuk memansuhkan RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018, bagaimana mungkin Dewan Negara hendak meluluskan sebarang pindaan Perlembagaan melibatkan Melayu dan Islam?

"Amat tidak masuk akal," katanya

BACA: ICERD perlu dikaji, ada peruntukan tidak sesuai

Jelasnya, berdasarkan rekod, negara-negara Islam yang telah menandatangani ICERD ini termasuk Arab Saudi sehingga kini tidak pun berdepan sebarang masalah dan masih mengamalkan undang-undang di negara mereka tanpa halangan.

Katanya, tidak wujud isu agama Islam tergadai setelah Negara-negara Islam ini menandatangani ICERD.

BACA: Malaysia belum sedia terima ICERD - Mohd Redzuan

Noorazmir berpandangan hujah yang berasaskan perkauman yang diperhangatkan seolah-olah menjadi buah tanggung kepada hujah pihak-pihak yang bersetuju untuk Kerajaan meratifikasi ICERD tersebut.

"Walaupun tindakan meratifikasi ICERD tersebut tidak menggugat Perlembagaan secara langsung, namun ia telah dijadikan sebab oleh sesetengah pihak untuk menangguk di air yang keruh dengan menghangatkan sentimen perkauman demi survival politik masing-masing," katanya.