Teka teki mengenai rombakan Kabinet Sarawak akhirnya terjawab apabila Datuk Amar Douglas Uggah Embas dilantik menjawat jawatan Menteri Kewangan II menggantikan Datuk Seri Wong Soon Koh yang melepaskan jawatannya Julai lalu.

Ia diumumkan sendiri oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia.

Uggah juga mengekalkan portfolio Menteri Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah.

Selain Uggah, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Adun Bukit Sari juga memegang portfolio baharu iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan selain kekal sebagai Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber.

Abang Johari mengumumkan barisan Kabinet Sarawak yang baharu. - Foto Bernama

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin, Datuk Lee Kim Shin pula dilantik sebagai menteri penuh iaiatu memegang portfolio Menteri Pengangkutan Sarawak.

Kim Shin sebelum ini menjawat jawatan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak.

Beliau akan dibantu Menteri Muda Datuk Dr Jerip Susil.

Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sebastian Ting pula dilantik sebagai Menteri Muda, mengisi kekosongan yang ditinggalkan Kim Shin sebagai Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian.

Kementerian itu diketuai Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, yang turut mengetuai Kementerian Belia dan Sukan.

Lantikan portfolio lain melibatkan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang kini dilantik Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri dengan pengkhususan kepada Hal-Ehwal Islam dan DBKU, selain memegang portfolio baharu dalam Kementerian Utiliti sebagai Menteri Muda Bekalan Air.

Jawatan Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar kini disandang Adun Belaga, Datuk Liwan Lagang.

Rombakan lain melibatkan kementerian yang diketuai Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Masing, yang kini dinamakan sebagai Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, dengan timbalannya kekal Datuk Julaihi Narawi.

James Jemut Masing juga dilantik memegang portfolio baharu iaitu Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan. - Gambar Bernama

Ketua Menteri turut mengumumkan pelantikan Datu Jaul Samion sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu menggantikan Tan Sri Morshidi Ghani yang bersara pada bulan lalu.

Selain itu, bekas Timbalan Setiausaha Kewangan Sarawak, Datu Junaidi Reduan dinamakan Datuk Bandar Kuching Utara menggantikan Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai manakala bekas Ahli Lembaga DBKU, Datuk Wee Hong Seng dilantik Datuk Bandar Kuching Selatan menggantikan Datuk James Chan.

Bekas Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu, Clarence Ting pula dinamakan sebagai Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, menggantikan Datuk Tiong Thai King.

Infografik rombakan Kabinet Sarawak.