Jet peribadi yang dikaitkan dengan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disahkan berada di Lapangan Terbang Seletar, Singapura.

Ia dipercayai milik ahli perniagaan yang kini diburu polis, Low Taek Jho atau Jho Low.

Media antarabangsa melaporkan, jet peribadi jenis Bombardier Global 5000 dan berharga AS$35.4 juta itu, berada di Singapura sejak tahun lepas.

Namun, tidak dapat dikenal pasti kaitan jet peribadi itu dan mengapa ia berada di republik berkenaan.

Dalam pada itu, polis Singapura mengesahkan belum menerima sebarang permohonan rasmi dari malaysia supaya pesawat itu dikembalikan.

Perkara itu turut disahkan peguam negara, Tommy Thomas menerusi kenyataannya pada Selasa.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyuarakan komitmen untuk membawa jet itu pulang ke malaysia.

Walaubagaimanapun, sebarang permohonan pemulangan aset berkaitan 1MDB itu, perlu mengikuti peruntukan perundangan Republik tersebut sebelum boleh dibawa pulang ke tanah air.

Jho Low dilaporkan membeli jet peribadi itu pada 2010, menggunakan dana 1MDB, seperti yang dinyatakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).