Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mengajak rakyat pelbagai kaum di negeri ini untuk bersama-sama menyambut perayaan Tahun Baru Cina dengan semangat perpaduan yang tinggi.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak pernah membeza-bezakan rakyat dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik dan memastikan masyarakat dapat hidup aman damai.

"Kedatangan ramai orang pada malam ini menunjukkan sokongan padu yang diberikan kepada kerajaan dalam mentadbir negeri ini dan menghargai apa yang kami buat untuk mencantikkan Seremban.

Malam ini merupakan permulaan menunjukkan bahawa Seremban masih boleh dibangunkan dan diceriakan bagi menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke sini," katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Karnival Tahun Baru Cina di Sungai Ujong Walk, di sini malam tadi.

Aminuddin turut mengajak masyarakat bersama-sama hadir di sambutan Tahun Baru Cina 2019 peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Dataran Centrio, Seremban 2 pada 17 Feb ini.

Beliau berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka hadir sebagai tetamu kehormat di majlis itu, selain menteri-menteri kabinet dan 15,000 tetamu yang lain.

-- BERNAMA