Majlis Islam Sarawak memutuskan untuk tidak membenarkan solat sunat Aidilfitri diadakan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Keputusan dibuat selepas mendapat nasihat Mufti negeri Sarawak berdasarkan keadaan semasa pandemik COVID-19.

Menurut Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha, keputusan ini dicapai selepas perbincangan yang menyeluruh menerusi aspek keselamatan dan kesihatan orang ramai.

“Untuk itu saya memohon agar masyarakat Islam di negeri ini menerima keputusan ini dengan positif demi kepentingan bersama.

“Solat sunat Aidilfitri masih boleh dilakukan di rumah bersama keluarga,” katanya ketika ditemui pada sidang media prosedur operasi standard (SOP) solat Jumaat di Bangunan Majma Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Kuching pada Jumaat.

Selain itu ujarnya bermula 22 Mei depan solat Jumaat dibenarkan diadakan di seluruh negeri Sarawak namun ia perlu berpandukan garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Sarawak.

Antaranya ahli jemaah tidak kurang 4 orang dan tidak melebihi 12 orang.

Jemaah bagaimanapun hanya terdiri daripada pegawai ataupun ahli jawatankuasa masjid.

“Berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan, solat Jumaat mesti dijalankan dengan mematuhi garis panduan pelaksanaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak,” jelasnya.

Tambahnya langkah itu diambil berdasarkan keputusan mesyuarat khas Lembaga Fatwa Negeri Sarawak 11 Mei lepas.

Jelasnya lagi selain solat Jumaat, semua arahan penangguhan sementara semua aktiviti masjid dan surau di seluruh Sarawak dikekalkan.