Ketua Menteri, Adly Zahari menafikan dakwaan sesetengah pihak tertentu kononnya wujud persefahaman untuk membentuk sebuah 'kerajaan pintu belakang' di negeri Melaka.

Beliau berkata, tidak wujud istilah 'kerajaan pintu belakang' memandangkan kerajaan negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) kekal utuh.

"Saya fikir mungkin di peringkat nasional Majlis Presiden PH boleh selesaikan sebarang isu berbangkit, begitu juga halnya di peringkat negeri melalui rakan komponen dalam PH. Setakat ini kita (Melaka) tidak bincang lagi dan tidak ada isu berbangkit cuma desas-desus itu pelbagai," katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan sebuah portal berita bahawa wujud usul untuk menggantikan kepemimpinan Adly melalui pembentukan kerajaan pintu belakang.

BACA: Tubuh kerajaan 'pintu belakang': Hormati pilihan rakyat - Mujahid

Sementara itu, 14 wakil rakyat negeri Melaka hari ini menyatakan sokongan kepada kepimpinan Adly untuk terus mentadbir ini dan menolak sebarang usaha memperlekeh mandat rakyat dan membelakangi prinsip demokrasi melalui pilihanraya.

Kenyataan itu diedar menerusi aplikasi Whatsapp Pejabat Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab dan ia antara lain memaklumkan bahawa fokus kerajaan negeri adalah menggalas amanah rakyat dengan program dan dasar yang progresif, inklusif serta inovatif bagi menjamin kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negeri.

"Kami memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada Ketua Menteri Adly Zahari untuk terus memimpin negeri Melaka bagi melaksanakan janji Pakatan Harapan,"katanya.

Terdahulu, Adly ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid 'Ibadur Rahman Batu Kechil sempena Sambutan Hari Jadi Ke-81 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di sini berkata, kerajaan negeri amat prihatin terhadap usaha berkaitan pembangunan Islam dan umatnya di Melaka, khususnya menerusi pembinaan masjid bagi memberi kemudahan dan keselesaan rakyat melakukan ibadah seharian.

Beliau berkata, keprihatinan itu juga selaras dengan insiatif mewujudkan keseimbangan antara pembangunan material atau fizikal dengan pembangunan rohaniah atau spiritual kerana kedua-duanya merupakan kunci kebahagiaan hidup muslimin di dunia dan akhirat.

Majlis berkenaan disempurnakan Mohd Khalil dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Hasim Hasan.

Beliau berkata masjid baharu Tangga Batu Kechil bernilai RM4.8 juta yang mampu menampung kehadiran 1,500 jemaah itu mula dibangunkan pada 2017 dan siap sepenuhnya pada Mei 2017 ekoran masjid lama kariah Tangga Batu Kechil mula dibina pada tahun 1917 tidak dapat menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat. - BERNAMA