Tiga, termasuk dua kanak-kanak lelaki cedera akibat terkena tembakan yang dilepaskan individu tidak dikenali dalam kejadian di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini.

Difahamkan dalam kejadian bermula jam 7 malam Rabu, dua daripada mangsa termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun mengalami kecederaan parah.

Mangsa pertama, seroang lelaki berusia 36 tahun cedera di lutut kaki kanan, seorang kanak-kanak 10 tahun mengalami kecederaan di bahagian perut manakala seorang lagi mangsa, juga kanak-kanak lelaki tiga tahun melecet di bahagian belakang badan.

Kecederaan ketiga-tiga mangsa dipercayai akibat ditembak oleh suspek yang disyaki seorang lelaki tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan kejadian itu dan ketiga-tiga mangsa kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Menurutnya, siasatan awal dipercayai seorang lelaki tidak dikenali melepaskan tembakan dan mengenai ketiga-tiga mangsa terbabit.

"Semua mangsa kini dirawat di HQE dan dalam keadaan stabil.

"Motif kejadian itu belum dipastikan lagi dan siasatan masih dijalankan," katanya.