Sepucuk pistol, 11 butir peluru hidup dan sebutir kelongsong peluru antara yang ditemui pada dua lelaki yang ditahan polis di Kuala Lipis kira-kira jam 4 petang, semalam.

Turut dirampas 37.63 gram dadah jenis syabu bernilai RM36,000.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, kedua lelaki terbabit berusia lingkungan 30 hingga 37 tahun itu ditahan hasil serbuan anggota Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Daerah di hadapan sebuah rumah di kawasan Merapoh.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 30 tahun, pihaknya menjumpai satu beg silang warna hitam mengandungi empat peket plastik berisi serbuk ketulan kristal disyaki jenis dadah syabu dan sebutir peluru hidup.

“Pemeriksaan lanjutan ke atas kereta jenis Proton Satria berwarna kelabu di hadapan rumah itu pula menemui sepucuk senjata api dengan sebutir peluru hidup di dalam sebuah beg hitam.

“Turut dijumpai stokin putih yang di dalamnya terdapat sembilan butir peluru hidup dan satu kelongsong peluru,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis hari ini.

Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Daerah, Asisten Superintendan S.V Chandran.

Menurutnya, kedua-dua suspek tidak bekerja dan lelaki berusia 37 terbabit memiliki empat rekod lampau dan seorang lagi mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Kedua-duanya dipercayai aktif mengedar dadah di kawasan Merapoh dan Gua Musang, Kelantan dan salah seorang suspek yang berusia 30 tahun itu baru seminggu bebas dari penjara.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A(2) ADB 1952, Seksyen 15(1) ADB 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti lebih berat 1971(FIPA) dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960,” katanya lagi kedua-duanya ditahan reman selama seminggu bermula hari ini.