Seorang perempuan penghidap kanser payu dara merupakan antara yang ditahan positif dadah dalam Ops Total Enforcement siri II yang melibatkan 19 kawasan di sekitar Sungai Petani.

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda telah melaksanakan operasi ini bermula 22 hingga 24 Jun dengan kekuatan lapan pegawai dan 17 anggota beserta tiga Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Sungai Petani.

Operasi berkenaan telah menggempur 19 lokasi termasuk Kampung Banggol, Sidam Kiri, Kampung Tanah Licin, Bandar Puteri Jaya, Kampung Pengkalan Lebai Man, Taman Sri Wang, Taman Keladi, Flat Paya Nahu.

Keseluruhan operasi kali ini telah berjaya menahan 58 orang yang terdiri daripada 55 lelaki dan tiga perempuan.

Menurut Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda Arnida Ishak, sewaktu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Flat Paya Nahu, seorang wanita berumur 21 tahun yang telah mempunyai dua anak turut ditahan.

Hasil soal siasat yang dijalankan, wanita tersebut terlibat dengan penagihan dadah jenis Metamfetamin semenjak berusia 16 tahun.

Lebih malang lagi, wanita tersebut turut disahkan menghidap kanser payu dara tahap dua.

Sewaktu tangkapan dilakukan, suami wanita tersebut tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Mereka yang ditahan berumur antara 15 dan 65 tahun dan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

Operasi ini menumpukan kepada kawasan berisiko tinggi iaitu di mukim Sungai Petani, Sungai Pasir dan Semeling.

Menurut Arnida, operasi ini menyasarkan kepada Orang Kena Tuduh (OKT) yang tidak hadir jamin, hasil aduan Hotline AADK, serta Orang Kena Pengawasan (OKP) yang melanggar syarat-syarat pengawasan ditetapkan.