Seorang warga emas maut selepas kereta yang dipandunya terbabas lalu melanggar konkrit bahu jalan di Kilometer 14 Jalan Teluk Intan - Hutan Melintang, di sini, pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 6.45 pagi, ketika Lim Ban Hock, 65, memandu bersendirian dari Hutan Melintang menghala ke Teluk Intan.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar batu konkrit di bahu jalan sebelah kiri, menghala ke Teluk Intan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan,” katanya dalam kenyataan petang Selasa.

Menurutnya, bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian ialah paru-paru berair dan kegagalan buah pinggang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.