Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menyangkal tuduhan dari sesetengah pihak bahawa dakwat kekal yang digunakan buat pertama kalinya pada pilihan raya umum ke-13(PRU-13), sebenarnya boleh dipadam.

Pengerusi SPr Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoof memberitahu Malaysian Insider bahawa adalah sukar untuk menanggalkan dakwat kekal itu walaupun dengan menggunakan cecair pelarut minyak seperti minyak motor.

“Mustahil, saya tidak percaya dakwat kekal itu boleh ditanggalkan... gunalah minyak atau bahan apa pun, ia tidak boleh ditanggal kerana ia dibuat daripada nitrat perak.

“Bila dakwat itu diletak pada kuku, ia akan meresap ke dalam kulit. Walaupun kesan pada kuku itu boleh hilang jika dibasuh atau dengan menggunakan minyak, kesannya pada kulit masih lagi boleh dilihat,” kata Abdul Aziz kepada portal berita itu.

Beberapa pegawai polis yang ditanya turut mengesahkan kenyataan Abdul Aziz itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin berkata dakwat itu tidak hilang walaupun semasa beliau mengambil wuduk sebelum sembahyang.

“Saya ambil wuduk dan dakwat itu tidak hilang,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang turut berkata dakwat itu kekal di jarinya.

“Saya rasa dakwat ini sukar ditanggalkan. Walaupun boleh ditanggalkan, bahagian yang telah meresap ke dalam kuku amat sukar untuk ditanggalkan,” katanya.

Seorang lagi pegawai polis yang enggan dinamakan berkata beliau cuba menggosok dakwat itu dengan batu namun ia tetap tidak boleh dipadam.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengecam timbalan presiden PKR Tian Chua yang mendakwa 20 anggota keselamatan telah berjumpa dengan beliau untuk menunjukkan bagaimana dakwat itu boleh dihilangkan dengan ‘gel sanitizer’.

Khairy, melalui akaun twitternya berkata kata-kata Tian Chua tidak harus dipercayai.



Isu itu menjadi hangat apabila Pengarah Perundangan Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat Dr Zulqarnain Lukman mengeluarkan kenyataan bahawa beliau telah menerima aduan mengenai perkara itu.

“Menurut laporan yang diberikan, dakwat yang dikatakan kekal itu boleh hilang hanya dengan basuhan air dan sabun,” katanya.