Bagi Dayang Rafidah Othman, 26 tahun, ini kali pertama dia akan menunaikan tanggungjawabnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Namun anak muda ini seolah-olah sudah tahu apakah faktor yang akan dipertimbangkannya sewaktu membuang undi pada 9 Mei nanti.

"Saya akan memilih berdasarkan calon, ini kerana calon adalah pemimpin dan tunjang yang akan menerajui sesuatu kawasan Parlimen tersebut. Contohnya dalam isu pembangunan masyarakat, ekonomi khususnya pendidikan rakyat di Sabah ini.

"Harapan saya pada PRU kali ini calon-calon hendaklah bekerja keras bukan sahaja ketika berkempen tetapi memberi perkhidmatan terbaik selepas menang nanti," katanya.

Dayang akan mengundi berdasarkan kredibiliti calon. - Astro AWANI/Tan Su Lin

Jangan hanya tabur janji

Turut senada, bapanya, Othman Harun, 77 tahun yang memberi peringatan kepada calon yang hanya menabur janji.

"Kita tidak tengok calon, kita tidak tengok manifestonya tapi kita tengok macam mana harapan rakyat, kemahuan rakyat, pilihan rakyat itu dipenuhi.

"Jadi kita cuma menunggu keputusan rakyat apa yang sebenar, apa yang berlaku kerana jika banyak janji-janji manis ini tidak dapat ditunaikan, maka rakyat marah," katanya.

Othman mahu kemahuan rakyat dipenuhi. - Astro AWANI/Tan Su Lin

Sementara bagi Bahair Ibrahim, 46 tahun, pula dia tidak termakan dengan janji-janji manifesto calon bertanding.

"Jika kita bandingkan dengan manifesto kadang-kadang tidak dapat dilaksanakan atas sebab tertentu tetapi kalau calon itu dia lebih bertanggungjawab terhadap kawasan dia, dia akan laksanakan kerja dia dari awal dan bukannya di saat-saat akhir baru mahu bekerja keras.

"Apabila musim pilihan raya, barulah calon itu bekerja keras masuk sini, masuk sana. Dari awal, kadang-kadang saya mau cari pun susah.

"Jadi kalau boleh kita mahu pemimpin yang bukan tunggu saat-saat akhir baru mahu bergerak. Kita mahu pemimpin yang dari awal (sebelum musim pilihan raya) sudah bekerja dan mendengar permasalahan penduduk di kawasan tersebut," katanya.

Bahair mahukan wakil rakyat yang bekerja bukan kerana musim pilihan raya. - Astro AWANI/Tan Su Lin

Pengundi Sabah lebih pragmatik

Berbanding dengan senario politik di Semenanjung Malaysia, faktor penentu pengundi di Sabah sedikit berbeza.

Pensyarah Sains Politik & Dasar Awam UiTM Sabah, Mohd Rahezzal Shah Abdul Karim, berkata faktor calon bakal menentukan kemenangan pada PRU14 nanti ekoran kehendak semasa rakyat dan isu-isu lokaliti.

"Di Sabah, aspek calon adalah faktor yang paling ketara sekali. Baru-baru ini kita ada membuat kajian dan hasilnya kami mendapati faktor calon adalah faktor yang begitu penting sekali berbanding parti. Bukan bermaksud mereka tidak melihat parti itu sebagai faktor penting tetapi mereka lebih mengutamakan calon daripada parti.

"Jadi mereka hendak tengok, adakah calon itu selalu turun padang? Adakah dia banyak menolong mereka? Bagaimana kemahiran komunikasinya? Semua ini diambil kira pengundi," katanya.

Ujarnya lagi, faktor itu sedikit sebanyak menjadi punca penubuhan parti-parti politik kecil tempatan yang banyak di Sabah berpaksikan kepada personaliti atau ikon pemimpin tertentu.

"Kita tengok pada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) umpamanya parti yang ditubuhkan oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Parti Harapan Sabah yang diketuai Datuk Lajim Ukin. Parti-parti ini berkembang berdasarkan personaliti-personaliti itu. Selain itu, ia juga tertumpu pada isu-isu tempatan di kawasan itu juga," katanya lagi.

Tidak hairan lah mengapa pilihan raya-pilihan raya di Sabah sering kali menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru.

Malah pada PRU13 yang lalu, kerusi parlimen Kalabakan menyaksikan pertandingan tujuh penjuru!

Dimeriahkan lagi dengan calon-calon bebas yang bakal bertanding nanti, rakyat Sabah pasti sudah pandai menilai yang mana satu pilihan hati mereka.